Diterbitkan pada 7 April 2025, 13:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Lipis – Lebih 10,000 orang rakyat Pahang membanjiri Laman Sejahtera Jelai, Sungai Koyan sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar Pahang, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail dan isteri, Datin Seri Diraja Dato’ Burhah Mohammed semalam.

YAB Menteri Besar Pahang dan Isteri beliau, Datin Seri Diraja Dato’ Burhah Mohammed bergambar bersama YB Tuan Fadzli Mohamad Kamal dan Isteri, semalam.

Seawal pukul 10.30 pagi, kawasan Sungai Koyan mula dipenuhi lautan manusia daripada pelbagai lapisan masyarakat yang hadir untuk memeriahkan sambutan Aidilfitri bersama-sama pemimpin kesayangan mereka.

YAB Menteri Besar dalam ucapannya menzahirkan rasa syukur dan penghargaan kepada semua yang hadir. “Saya ucapkan terima kasih kepada semua yang hadir pada hari ini. Alhamdulillah kehadirannya sangat baik, bahkan saya dimaklumkan lebih ramai daripada tahun sebelumnya. Saya sangat gembira dan terharu dengan sambutan tahun ini. Melihat wajah ceria rakyat yang hadir bersama keluarga, bersalaman, bergelak ketawa, itulah saat paling bermakna buat saya sebagai pemimpin. Inilah semangat sebenar Aidilfitri,” ujar beliau dengan penuh emosi.

YAB MB Pahang memberikan duit raya kepada kanak-kanak yang turut hadir.

Beliau turut memaklumkan bahawa jumlah kehadiran dianggarkan melebihi 10,000 orang, termasuk lebih 5,000 kanak-kanak yang menerima duit raya secara langsung daripada beliau sendiri.

YAB Menteri Besar Pahang bergambar bersama kepimpinan MIC Pahang diketuai YB Tuan Arumugam Pillai, ADUN Sabai.

Turut menyerikan majlis termasuklah barisan pimpinan negeri seperti Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli, Yang Berhormat (YB) Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia dan Belia Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan, YB Tuan Fadzli Mohamad Kamal dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan, YB Dato’ Amizar Abu Adam.

YAB MB Pahang beramah mesra dengan tetamu yang hadir semasa Majlis Rumah Terbuka MB Pahang berlangsung.

Majlis yang penuh dengan kemeriahan ini bukan sekadar menyambut lebaran, tetapi turut menjadi lambang semangat perpaduan, ukhuwah dan keakraban rakyat Pahang yang terus utuh bersama-sama dalam perjuangan membangunkan negeri tercinta. “Semoga tautan silaturrahim ini terus kekal dan utuh dalam mengharungi arus perjuangan,” ujar YAB Menteri Besar penuh makna.

Kerajaan Negeri Pahang di bawah teraju YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy sentiasa menzahirkan komitmen tinggi terhadap kesejahteraan rakyat menerusi pendekatan mesra rakyat dan kehadiran bersama-sama di lapangan. Majlis seumpama ini bukan sekadar simbolik perayaan, tetapi sebagai cerminan keprihatinan kerajaan negeri yang sentiasa bersama-sama rakyat dalam setiap lapisan kehidupan.

YAB MB Pahang bergambar bersama tetamu yang turut memeriahkan Majlis Rumah Terbuka MB Pahang.

Dengan semangat kebersamaan yang terus dipupuk, Pahang melangkah gagah sebagai negeri yang bersatu padu, harmoni dan progresif, berlandaskan nilai kasih sayang dan kepimpinan yang berjiwa rakyat.

Kredit Foto: Facebook Rasmi YAB Menteri Besar Pahang
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi