Muhammad Haziq bin Noor Affandi .
Diterbitkan pada 29 Mac 2025, 13:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Menteri Kesihatan, Yang Berhormat (YB) Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad melaksanakan lawatan kerja ke Institut Kanser Negara (IKN) di Putrajaya menjelang Hari Raya Aidilfitri, semalam.

Dalam lawatan tersebut, YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad meninjau beberapa kemudahan utama termasuk wad dan Unit Rawatan Harian (Daycare Oncology), serta menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada pesakit dan petugas kesihatan sebagai tanda penghargaan atas khidmat bakti dan dedikasi dalam penyampaian rawatan.

Selain itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut menyediakan inisiatif untuk menambah baik aspek rawatan dan penjagaan khas kepada pesakit kanser.

“IKN bakal menerima dua daripada mesin pemecut linear perubatan (medical linear accelerator), manakala tiga mesin lagi akan ditempatkan di Hospital Kuala Lumpur; Hospital Wanita Dan Kanak-Kanak Sabah; dan Hospital Umum Sarawak,” ujar KKM.

KPM juga membekalkan mesin LINAC yang dilengkapi dengan Stereotactic Body Radiotherapy yang merupakan rawatan yang lebih canggih dan berteknologi tinggi menggunakan dos sinaran radioterapi yang tinggi dan tepat untuk memusnahkan sel kanser.

Pada masa yang sama, lawatan ini merupakan cerminan iltizam KKM terhadap kesejahteraan pesakit dan kebajikan warga kesihatan, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai ihsan dan kemuliaan insan.

 

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat (YB) Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada pesakit dan petugas kesihatan sempena Hari Raya Aidilfitri di Institut Kanser Negara, Putrajaya.

Turut hadir dalam lawatan ini termasuklah Pengarah  Bahagian Perkembangan Perubatan, KKM, YBhg Dato’ Dr. Mohd Azman Yacob; Pengerusi Yayasan Tengku Abdullah, YM Tengku Shaheera binti Tengku Tan Sri Abdullah; Ketua Pegawai Eksekutif, FOMEMA Sdn. Bhd, YBrs Dr. Mohd Afiq Farhan Md Hanif dan Pengarah Institut Kanser Negara, YBrs Dr. Nur Aslina Bahakodin.

Kredit Foto: Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi