Diterbitkan pada 27 Mac 2025, 14:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuantan – Bersempena dengan bulan Ramadan pada tahun ini, Sekolah Rendah Tahfiz Negeri Pahang (SRTNP) menunjukkan komitmen terhadap kebajikan masyarakat dan menyantuni asnaf menerusi penganjuran program amal SRTNP Share The Love x Ihya’ Ramadhan Donation Programme, semalam.

Sebanyak 15 buah keluarga asnaf yang terpilih di Kampung Anak Air, Kuantan menerima pelbagai barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, gula, tepung, susu pekat dan biskut.

Para pelajar SRTNP ketika menyantuni seorang daripada penerima sumbangan.

Selain itu, penganjuran program tersebut melibatkan pelajar tahun 5 SRTNP yang bertujuan untuk menyemai nilai kasih sayang serta keprihatinan dalam kalangan pelajar.

Guru Penolong Kanan Kokurikulum SRTNP, Encik Muhammad Syauqie Muhamad Rosli menegaskan bahawa program ini bukan sekadar aktiviti kebajikan tetapi juga sebagai sebuah pendekatan pendidikan yang memberikan pengalaman bermakna kepada pelajar.

Kami mahu memastikan murid bukan sahaja cemerlang dalam akademik dan hafazan al-Quran, tetapi mereka membesar sebagai individu yang penyayang dan bertanggungjawab terhadap masyarakat.

“Program seperti ini memberikan peluang kepada mereka untuk merasai sendiri pengalaman menyantuni golongan yang memerlukan,” katanya.

Sementara itu, Encik Abdul Aziz Mohd Nor menzahirkan perasaan bangganya melihat keprihatinan dan semangat yang ditunjukkan oleh pelajar mereka.

Perkara ini merupakan pengalaman yang sangat berharga bagi mereka untuk memahami erti kesyukuran dan berkongsi rezeki bersama-sama dengan golongan yang kurang bernasib baik.

Pada masa yang sama, seorang murid yang turut serta dalam program ini, Ahmad Mishary Ahmad Farihan bersyukur kerana berpeluang terlibat dalam aktiviti kebajikan ini.

“Saya belajar bahawa bersedekah bukan hanya tentang memberikan barang tetapi juga tentang memberikan kasih sayang dan perhatian kepada mereka yang kurang berkemampuan,” ujarnya dengan penuh keikhlasan.

Seorang lagi murid tahun 5, Ahmad Rafiuddin Ruzmayuddin, turut berkongsi perasaannya setelah menyertai program ini.

Saya berasa gembira kerana dapat membantu mereka yang memerlukan. Semoga sumbangan kecil ini dapat menggembirakan mereka menjelang Hari Raya Aidilfitri nanti.

Sementara itu, Puan Wook Jusoh, ibu tunggal dari Kampung Anak Air menyatakan penghargaan kepada pihak sekolah dan pelajar yang menyampaikan bantuan kepada beliau sekeluarga dalam persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba.

Objektif program ini diadakan bukan sahaja menyalurkan sumbangan kepada golongan asnaf, malah memberikan pengalaman berharga kepada pelajar SRTNP dalam usaha memahami kepentingan menyantuni masyarakat yang memerlukan.

 

Kredit Foto: SRTNP Kuantan
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi