Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Komunikasi menawarkan Insentif Rebat RAHMAH secara sekali bayar (one–off) yang dilaksanakan dengan kerjasama penyedia perkhidmatan telekomunikasi kepada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menerusi kenyataan media, anggota PDRM yang mendaftar pelan pascabayar (postpaid) akan menikmati rebat dalam bentuk tanggungan pembayaran bil selama satu bulan sama ada pada bulan April, Mei atau Jun bergantung pada tarikh kitaran bil tersebut.
Manakala, anggota PDRM yang melanggan pakej prabayar (prepaid) pula akan menerima tambah nilai prabayar minimum RM30 secara sekali bayar (one-off) dan kaedah pemberian rebat berbeza mengikut syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi.
Selain itu, pemberian insentif ini juga disokong sepenuhnya oleh penyedia perkhidmatan telekomunikasi seperti CelcomDigi, Maxis, U Mobile, TM Tech, YTL Communications, Tune Talk, redone dan XOX Com.
Kementerian Komunikasi menyatakan bahawa insentif ini sejajar dengan hasrat kerajaan bagi mengiktiraf dan menghargai pengorbanan anggota PDRM atas komitmen mereka dalam menjalankan tugas untuk menjaga kesejahteraan rakyat serta keselamatan negara.
Sebarang maklumat lanjut mengenai insentif ini akan diumumkan oleh syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi masing-masing. Senarai soalan lazim (FAQ) juga boleh dirujuk menerusi laman sesawang Kementerian Komunikasi di pautan rasmi https ://www.komunikasi.gov.my/en/awam/faq.