Arina Zata Sabila binti Musthafa Abrar .
Diterbitkan pada 23 Mac 2025, 21:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sandakan – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menyumbangkan wakaf  buku DBP kepada tiga institusi utama di Sabah, iaitu Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Kolej Vokasional Sandakan 2 dan Jabatan Perhutanan Sabah. Selain tiga agensi tersebut, St. John Ambulance Malaysia, Kawasan Sandakan akan turut menerima wakaf buku tersebut. Setiap institusi menerima bahan bacaan bernilai RM1,000.00 sebagai usaha memperkasakan ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang dan galakan pembudayaan membaca dalam kalangan institusi pendidikan dan agensi kerajaan.

Penyerahan sumbangan ini telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat (YB) Fadhlina Sidek bagi pihak DBP dan disaksikan oleh Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP, YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa, mewakili Ketua Pengarah DBP (YBrs. Dr. Hazami Jahari) bersempena dengan Majlis Perasmian Kolej Vokasional Sandakan 2, pada petang semalam.

Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari berkata bahawa inisiatif ini adalah sebahagian daripada komitmen DBP dalam memperluas akses terhadap bahan bacaan berkualiti.

Sebagai institusi utama yang bertanggungjawab terhadap pembangunan bahasa dan sastera kebangsaan, DBP sentiasa berusaha memastikan bahan bacaan berkualiti sampai kepada pelbagai lapisan masyarakat, termasuklah pelajar, tenaga pengajar dan para penyelidik. Kami berharap agar sumbangan ini dapat memberikan manfaat besar kepada penerima dalam memperkukuh ilmu dan kemahiran mereka,” jelas beliau.

Sementara itu, YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa turut menekankan kepentingan pembacaan sebagai asas bagi pembangunan ilmu. Ketika ditemu bual oleh wartawan JendelaDBP beliau menjelaskan:

Bahan bacaan yang kami sumbangkan ini meliputi pelbagai bidang termasuklah pendidikan, vokasional dan pemuliharaan alam sekitar. Inilah usaha DBP yang sentiasa menitikberatkan bahan bacaan berkualiti dan mengusahakan bahan penerbitan dalam pelbagai bidang sejajar dengan objektif penubuhan DBP.

DBP menyumbangkan bahan bacaan menerusi wakaf buku kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah bagi memperkaya sumber ilmu untuk pelajar dan pendidik.
DBP menyerahkan bahan bacaan kepada Kolej Vokasional Sandakan 2 bagi memperkukuh ilmu dan kemahiran pelajar serta guru.
Jabatan Perhutanan Sabah menerima bahan bacaan DBP bagi menyokong usaha pemeliharaan alam sekitar.

Selain penyampaian wakaf buku, beberapa program anjuran DBP turut diadakan bersempena dengan ziarah Menteri Pendidikan di sekitar Sandakan. Antaranya termasuklah Program Pantau Tegur Bahasa yang dilaksanakan oleh Bahagian Penguatkuasaan DBP dengan kerjasama Majlis Perbandaran Sandakan bagi memperkukuh penggunaan bahasa kebangsaan di kawasan tersebut.

Bagi mengimarahkan bulan Ramadan dengan program ilmu, DBP menerusi Bahagian Promosi dan Pengiktirafan juga berpeluang melaksanakan program Bacaan Hadis 40 Imam al-Nawawi dan tazkirah sebelum berbuka puasa di Kolej Vokasional Sandakan 2.

Selain itu, Program Kembara Majalah Dalam Kelas (MDK) untuk Pelajar (majalah Dewan Siswa), yang dikelolakan oleh Bahagian Majalah DBP dan Bengkel Program MDK untuk Guru yang dikendalikan oleh Akademi DBP dengan kerjasama DBP Cawangan Sabah, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Pejabat Pendidikan Daerah Sandakan dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Juhar, Sandakan telah dilaksanakan di SMKA Tun Juhar pada 21 Mac 2025 bagi memupuk minat membaca dan berkarya dalam kalangan pelajar dan guru.

Sementara itu, program Malam Gema Ramadan, anjuran DBP Cawangan Sabah turut diadakan pada 22 Mac 2025 dengan penampilan penulis dari Sabah yang menyampaikan puisi berunsur kerohanian bagi menyemarakkan malam terakhir Ramadan.

Program Malam Gema Ramadan anjuran DBP Cawangan Sabah, menyuburkan jiwa dengan puisi berunsur kerohanian.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi