Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSandakan – “Walaupun kadar kebolehpasaran graduan vokasional mencapai 99 peratus, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menekankan kepentingan kadar upah yang lebih berpatutan dan bermaruah bagi graduan berdasarkan kemahiran yang dimiliki oleh mereka.”
Menteri Pendidikan, Yang Berhormat (YB) Fadhlina Sidek berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Kolej Vokasional Sandakan 2 (KVS2) petang semalam. Menurut beliau, tumpuan utama kementerian adalah untuk memastikan para pelajar diberi peluang memperkukuh kemahiran mereka melalui kurikulum kolej vokasional di seluruh negara.

Ujar beliau,
KVS2 adalah antara inisiatif penting dalam memperluas akses pendidikan untuk pelajar sekolah menengah dan lepasan sekolah yang berminat dalam bidang TVET. Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada pengarah KVS2 serta tenaga pengajar atas persiapan rapi yang dilakukan bagi memastikan kemahiran dan kursus yang ditawarkan di sini berjalan dengan baik.
Beliau turut menekankan usaha kerajaan dalam memaksimumkan pengambilan pelajar Sabah ke KVS2 bagi memastikan akses pendidikan TVET yang lebih menyeluruh.

Dalam usaha meningkatkan taraf pendidikan vokasional, KPM kini memberikan tumpuan terhadap penubuhan Majlis TVET Negara yang bakal melibatkan 12 kementerian. Majlis ini akan memastikan kolej vokasional terus relevan dengan kehendak pasaran dan industri.
Kolej vokasional tidak boleh tertinggal dalam arus pembangunan. Kita perlu melihat semula kursus yang ditawarkan, memastikan kursus tersebut relevan dengan keperluan industri dan menyediakan sinergi yang lebih kuat dengan pihak industri.
Beliau turut mengumumkan perancangan penambahan kolej vokasional di Sabah pada masa hadapan agar peluang pendidikan TVET yang lebih saksama dapat diberikan kepada anak-anak negeri itu.
Menurut beliau, persepsi bahawa TVET ialah pilihan kedua harus diubah kerana TVET merupakan laluan pendidikan arus perdana yang menawarkan peluang pekerjaan dan pembangunan kemahiran tinggi.
“Tumpuan kita adalah kepada teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI). Oleh itu, pelajar perlu menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi terkini. Pensyarah juga perlu diberikan latihan industri supaya kursus yang ditawarkan benar-benar relevan dengan keperluan semasa,” ujar beliau.
Selain itu, beliau menegaskan bahawa penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan graduan TVET juga amat penting bagi memastikan mereka dapat bersaing pada peringkat global.
Dengan usaha berterusan kerajaan dan sokongan industri, KPM yakin TVET akan terus mendapat sambutan dan menjadi pilihan utama dalam pembangunan modal insan negara.
Majlis ini turut dihadiri oleh ADUN Sungai Manila, YB Datuk Mokran Ingkat; Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, YBhg. Datuk Haji Azman Haji Adnan; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), YBhg. Dato’ Ahmad Suhaimi Endut; Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Dasar dan Kurikulum), YBrs. Dr. Rusmini Ku Ahmad; Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah), YBrs. Encik Zainal Abas; Pengarah Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional KPM, YBrs. Ts. Zulkernai Fauzi; Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa dan Pengarah DBP Cawangan Sabah, Puan Jennitah Noordin.