Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPerlis – “Universiti Muhammadiyyah Malaysia (UMAM) berperanan sebagai penghubung yang berkesan dalam kolaborasi sebagai pusat penyelidikan antara universiti di Malaysia dengan Indonesia serta memainkan peranan yang penting dalam melaksanakan pelbagai kajian yang memberikan manfaat kepada kedua-dua negara rantau.”
Demikian titah Raja Muda Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Santunan Kasih Ramadan anjuran Universiti Muhammadiyyah yang berlangsung di Hotel Seri Malaysia, Kangar, semalam.

Baginda bertitah, UMAM dapat meningkatkan prestasinya dengan mewujudkan rangkaian cendekiawan global yang berdaya saing, berupaya melahirkan graduan berkepakaran dalam bidang berkaitan serta memiliki keperibadian ulul albab yang unggul.
Selain itu, baginda juga memaklumkan bahawa UMAM perlu dijadikan sebagai pusat pendidikan hebat yang mampu menghasilkan graduan berkualiti tinggi, berwibawa dan berperanan aktif dalam mengembangkan Islam yang progresif serta relevan dalam arus perdana global.
Keberangkatan tiba baginda diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis, DYMM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan disambut hormat oleh Naib Canselor UMAM, YBrs. Dr. H. Saidul Amin MA; Lembaga Pengarah UMAM, YBhg. Profesor Emeritus Datuk Dr. Mohd Noh Dalimin serta pengurusan tertinggi UMAM.
Dalam majlis yang sama, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama- sama Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan menyempurnakan simbolik perasmian majlis serta menyaksikan penyampaian sumbangan oleh UMAM, disampaikan oleh Profesor Emeritus Datuk Dr. Mohd Noh Dalimin kepada 15 anak-anak asnaf yang terpilih.
Yang turut hadir dalam majlis tersebut termasuklah Pengerusi Muhammadiyyah dari Jambi, Medan dan Riau serta enam orang rektor dari negara Indonesia.
Sebagai rekod, UMAM merupakan sebuah institusi pendidikan tinggi yang terletak di Padang Besar, Perlis yang ditubuhkan oleh organisasi Muhamadiyyah dari Indonesia yang terkenal dengan inisiatif pendidikan.