Diterbitkan pada 22 Mac 2025, 00:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sandakan – Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa yang mewakili Ketua Pengarah DBP (YBrs. Dr. Hazami Jahari) menegaskan bahawa usaha memperkasakan budaya membaca dalam kalangan pelajar perlu dipertingkat bagi melahirkan masyarakat MADANI yang cinta akan ilmu dan mahir dalam penguasaan bahasa Melayu yang baik serta berkesan.

Menurut beliau, kepentingan membaca sejajar dengan tiga Pelan Strategik DBP, iaitu menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa negara dan bahasa ekonomi. 

“Sebahagian besar kehidupan anak-anak adalah di sekolah. Inilah masanya untuk anak-anak menimba ilmu dan meningkatkan penguasaan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu yang melambangkan jati diri sebagai rakyat Malaysia. Penguasaan bahasa Melayu amat penting dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Gunakan majalah terbitan DBP sebagai bahan pembelajaran untuk meningkatkan penguasaan bahasa Melayu. Kembangkan bakat  anak-anak untuk berkarya melalui majalah terbitan DBP kerana pengkaryaan menjadi terapi diri dalam menghilangkan tekanan dan anak-anak dapat menonjolkan bakat masing-masing dalam dunia penulisan,” ujar beliau semasa menyantuni para pelajar Sekolah Menengah Agama (SMKA) Tun Juhar, Sandakan, Sabah semasa pelaksanaan Program Kembara Majalah Dalam Kelas (MDK) untuk Pelajar yang dilaksanakan oleh Bahagian Majalah DBP pada petang semalam.

Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa semasa menyantuni para pelajar dalam Program Kembara MDK untuk Pelajar di SMKA Tun Juhar, Sandakan, Sabah.

Semasa menyampaikan ucapan dalam Bengkel Program Kembara MDK untuk Guru yang dilaksanakan oleh Akademi DBP, beliau turut menyatakan bahawa Program Kembara MDK amat sesuai diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah menerusi penggunaan bahan bacaan yang berkualiti seperti majalah terbitan DBP. Bahan bacaan seperti Dewan Siswa sering dijadikan rujukan bagi soalan peperiksaan SPM, sekali gus membantu pelajar meningkatkan kefahaman dan prestasi akademik mereka.

Dalam usaha melahirkan bakat baharu dalam bidang penulisan, Program Kembara MDK turut menyediakan bimbingan menerusi aktiviti berkumpulan dan simulasi. Pelajar digalakkan untuk menyerahkan karya mereka kepada DBP, dan karya yang terpilih akan disiarkan dalam majalah Dewan Siswa serta menerima honorarium. 

Editor majalah Dewan Siswa, Puan Siti Irni Yuslinda Mosman membimbing pelajar dalam penghasilan karya cerpen fiksyen dalam Program Kembara MDK.

“Kejayaan ini juga menjadi tiket kepada pelajar untuk menyertai program berimpak tinggi seperti Minggu Penulis Kanak-kanak (MPKK) dan Minggu Penulis Remaja (MPR). Program MPR telah terbukti melahirkan banyak penulis muda berjaya di Malaysia, yang kemudiannya diketengahkan menerusi majalah Tunas Cipta. Malah, banyak karya mereka mendapat pengiktirafan dalam pelbagai anugerah berprestij seperti Hadiah Sastera Perdana Malaysia dan Hadiah Sastera Tunas Cipta,” tambah beliau.

Sebanyak 37 orang guru dari sekitar sekolah menengah di Sandakan telah menghadiri Bengkel Program Kembara MDK untuk Guru yang menekankan aspek pengaplikasian penggunaan majalah dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah. 

Para pelajar membentangkan pantun bertemakan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) yang dihasilkan semasa aktiviti Program Kembara MDK.

YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa berkata bahawa pelaksanaan Program Kembara MDK ini selaras dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang berhasrat untuk membudayakan ilmu dan menjadikan pembacaan sebagai amalan harian dalam kalangan pelajar. “Selain memastikan kecemerlangan akademik, guru juga dapat melatih dan membimbing pelajar memperoleh ilmu tambahan yang bermanfaat melalui bahan berkualiti seperti majalah terbitan DBP,” ujar beliau.

Beliau turut memaklumkan bahawa Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek menyarankan agar DBP terus memperkasakan aktiviti pembacaan dalam kalangan pelajar dengan meningkatkan kolaborasi bersama-sama dengan pihak sekolah. Langkah ini termasuklah melaksanakan lebih banyak program turun padang bagi memperkenalkan DBP sebagai institusi yang memartabatkan bahasa dan pembelajaran.

YBrs. Puan Fauzilahyatun menjelaskan bahawa guru memainkan peranan yang penting dalam pengaplikasian penggunaan majalah di dalam kelas dengan berkesan. 

“Pelopor Program Kembara MDK ini juga ialah seorang guru, iaitu Cikgu Azizul Rahman Abdul Rahman yang merupakan Tokoh Guru Johor, Tokoh Guru Kebangsaan 2016, Tokoh Kepimpinan Pendidikan 2016 dan Pengetua Cemerlang. Sepanjang menjadi pendidik, beliau banyak menjadikan majalah terbitan DBP, iaitu Dewan Siswa dan Dewan Pelajar sebagai bahan PdP yang berkesan.”

“Majalah ini merangkumi pelbagai bidang ilmu serta isu semasa yang sesuai dijadikan bahan pembelajaran di dalam kelas. Saya yakin dan percaya bahawa majalah terbitan DBP wajar dijadikan koleksi wajib di pusat sumber sekolah,” ujar beliau.

Program Kembara MDK juga merupakan sebahagian daripada Pelan Strategik KPM 2024–2030 di bawah Teras Strategik 1: Meningkatkan Akses dan Kualiti Pendidikan dan Strategi 2: Meningkatkan Kualiti Pendidikan. Oleh itu, beliau berharap agar pihak sekolah dapat menggunakan majalah terbitan DBP di dalam kelas sebagai langkah memperkukuh budaya ilmu dalam kalangan pelajar dan guru.

Turut hadir dalam program ini ialah Pengarah DBP Cawangan Sabah, Puan Jennitah Noordin; Ketua Editor Bahagian Majalah, YBrs. Dr. Rosmani Omar; Ketua Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik, Encik Abdul Ghani Abu; Ketua Akademi DBP, Puan Mariati Josepha Mustafa; Timbalan Pengarah II DBP Cawangan Sabah, Encik Zaidi Ismail; pegawai DBP Cawangan Sabah, editor Bahagian Majalah dan pegawai Akademi DBP.

Program ini turut mendapat sokongan daripada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sandakan, DBP Cawangan Sabah, Bahagian Majalah DBP dan Akademi DBP.

YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa semasa menyampaikan hadiah dan sijil penyertaan kepada kumpulan yang memenangi aktiviti dalam Program Kembara MDK.

Bersempena dengan pelaksanaan Program Kembara MDK di SMKA Tun Juhar, DBP Cawangan Sabah turut mengadakan jualan bahan terbitan DBP seperti buku, majalah, kamus dan ensiklopedia. Jualan ini juga mendapatkan sambutan menggalakkan daripada pelajar dan guru.

Jualan buku DBP turut mendapat sambutan daripada para pelajar SMKA Tun Juhar.

Sebagian rekod, Program Kembara MDK merupakan inisiatif DBP bagi membantu guru Bahasa Melayu memperkaya kaedah PdP di dalam kelas. Program ini terus dilaksanakan di sekolah rendah dan menengah terpilih kerana mendapat sambutan menggalakkan daripada pihak sekolah dan pelajar.

YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa bersama-sama dengan pihak DBP dan pihak sekolah bergambar bersama-sama dengan pelajar yang menyertai Program Kembara MDK untuk Pelajar.

Program Kembara MDK merupakan program kedua yang dilaksanakan pada tahun ini. Program ini turut dilaksanakan sebelum ini di Sekolah Kebangsaan (SK) Chegar Galah, Perak yang melibatkan penyertaan 82 orang murid sekolah rendah termasuklah murid prasekolah yang turut melibatkan SK Temong dan SK Sauk. 

Program Kembara MDK untuk Pelajar dan Bengkel Program Kembara MDK untuk Guru akan diteruskan pelaksanaannya secara lebih meluas pada April 2025 hingga Oktober 2025 yang melibatkan negeri dan wilayah persekutuan di seluruh Malaysia. Sepanjang pelaksanaan program ini pada tahun 2024, program ini telah melibatkan penyertaan 2826 orang murid dan pelajar, 420 orang guru dan 350 buah sekolah dan dilaksanakan mengikut zon.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi