Diterbitkan pada 22 Mac 2025, 00:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sandakan – Sebanyak 69 orang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Juhar dan 37 orang guru dari beberapa sekolah sekitar Sandakan telah menyertai Program Kembara Majalah Dalam Kelas (MDK) yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada petang semalam. Program ini bertujuan untuk memupuk semangat membaca dan berkarya dalam kalangan pelajar serta memperkukuh budaya ilmu dalam sistem pendidikan negara.

Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sandakan, Encik Ahmad Ladju.

Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sandakan, Encik Ahmad Ladju, menyatakan bahawa bengkel penggunaan majalah dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) seharusnya diteruskan kerana memberikan banyak manfaat, khususnya kepada guru-guru mata pelajaran Bahasa Melayu.

“Guru-guru boleh menggunakan bahan-bahan seperti majalah terbitan DBP untuk membantu pelajar dalam pembelajaran. Selain bahan digital, bahan bercetak seperti majalah juga penting kerana dapat digunakan secara langsung di dalam kelas, memudahkan pelajar mencari makna kata, memahami tatabahasa dengan lebih baik serta menguasai teknik penulisan yang berkualiti,” ujar beliau.

Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, SMKA Tun Juhar, Puan Sapura Anjaw.

Sementara itu, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SMKA Tun Juhar, Puan Sapura Anjaw, turut menyokong program ini sebagai satu usaha yang baik daripada Kementerian Pendidikan Malaysia dan DBP dalam memperkasakan PdP.

“Penggunaan majalah bagi guru-guru baharu akan membantu mereka mengajar dengan lebih berkesan. Manakala bagi guru-guru berpengalaman, majalah telah lama digunakan sebagai bahan tambahan dalam PdP kerana penggunaan majalah di dalam kelas merangkumi pelbagai aspek dalam kurikulum pembelajaran,” jelas beliau.

Beliau turut menekankan kepentingan membaca dalam meningkatkan penguasaan bahasa dalam kalangan pelajar di Sabah yang sering mengalami cabaran dalam penggunaan laras bahasa standard dalam penulisan mereka.

Guru mata pelajaran Bahasa Melayu dari SMK Taman Fajar, Sandakan, Puan Siti Nuraisyah Yadde.

Guru mata pelajaran Bahasa Melayu dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Fajar, Sandakan, Puan Siti Nuraisyah Yadde turut menyatakan bahawa sebahagian daripada guru di sekolahnya telah menggunakan majalah dalam PdP sejak tahun lalu tetapi masih belum meluas di seluruh sekolah.

“Setelah menghadiri Bengkel MDK, pihak sekolah kami akan memperluas penggunaan majalah terbitan DBP bukan sahaja untuk subjek Bahasa Melayu, tetapi juga subjek lain seperti Matematik dan Sejarah,” jelasnya.

Beliau turut berkongsi bahawa majalah Dewan Siswa, misalnya, bukan hanya membincangkan isu berkaitan dengan bahasa Melayu tetapi juga mengandungi kandungan yang boleh dimanfaatkan dalam mata pelajaran lain bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Beliau turut berharap agar Program Kembara MDK ini dapat diteruskan bagi membantu pelajar dan guru dalam meningkatkan mutu pendidikan dan pengajaran, serta menggalakkan budaya membaca dalam kalangan generasi muda.

Encik Abdul Ghani Abu, penceramah bagi Bengkel Program Kembara MDK untuk Guru merangkap Ketua Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik DBP, semasa menyampaikan ceramah berkaitan dengan pelaksanaan MDK dalam PdP.

Turut hadir dalam program ini ialah Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa; Pengarah DBP Cawangan Sabah, Puan Jennitah Noordin; Ketua Editor Bahagian Majalah, YBrs. Dr. Rosmani Omar; Ketua Akademi DBP, Puan Mariati Josepha Mustafa; Timbalan Pengarah II DBP Cawangan Sabah, Encik Zaidi Ismail; pegawai DBP Cawangan Sabah, editor Bahagian Majalah dan pegawai Akademi DBP.

Program ini turut mendapat sokongan daripada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sandakan, DBP Cawangan Sabah, Bahagian Majalah DBP dan Akademi DBP.

YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa semasa menyampaikan sijil kepada guru yang menyertai Bengkel Program Kembara MDK untuk Guru.

Sebagai rekod, Program Kembara MDK merupakan inisiatif DBP bagi membantu guru Bahasa Melayu memperkaya kaedah PdP di dalam kelas. Program ini terus dilaksanakan di sekolah rendah dan menengah terpilih kerana mendapat sambutan menggalakkan daripada pihak sekolah dan pelajar.

Kredit Foto: Arina Musthafa
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi