Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kerajaan serius melaksanakan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2025 yang bukan sahaja mengukuhkan kebebasan institusi parlimen, tetapi perkara yang lebih besar adalah untuk mereformasi institusi negara.
Menurut Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim, RUU berkenaan harus diluluskan bagi membolehkan RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 yang bakal dibentangkan kelak menjadikan parlimen sebagai sebuah institusi yang bebas dan berdaulat.
“Bagi kerajaan, pindahan ini tidak kecil (kerana) ini sesuatu yang dikatakan (sebagai) substantif dari segi perlembagaan dan pelaksanaan reformasi,” katanya ketika bacaan kali kedua RUU tersebut dalam sidang Dewan Negara semalam.
Parlimen sekarang ini berada di bawah Perdana Menteri, menerusi Jabatan Perdana Menteri.
Perdana Menteri memilih untuk menyerahkan sebagai satu badan bebas. Sebab itu, apabila kita menyebut reformasi institusi itu enak, tapi sukar untuk mendapatkan Perdana Menteri yang mahu menyerahkan kuasa, tetapi kita terpaksa lakukan dan ini akan memperkukuh semangat (pemisahan kuasa eksekutif dan legislatif).
Beliau turut menegaskan bahawa perkara ini sudah tertera semasa kepimpinan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada tahun 1957 tatkala Akta Perkhidmatan Parlimen diperkenalkan pada masa itu diluluskan pada tahun 1963, tetapi undang-undang tersebut dibatalkan pada tahun 1992.
Selain itu, beliau menjelaskan bahawa kerajaan telah melakukan penilaian semula dan melaksanakan sesi libat urus dengan pelbagai pihak supaya sedikit kelonggaran dalam pemilihan skim perkhidmatan serta kenaikan pangkat kepada pegawai yang bertugas di bawah pentadbiran parlimen.
Satu lagi prinsip ini ialah keanggotan Majlis Perkhidmatan Parlimen itu ditambah. Jika di bawah akta pada tahun 1963 dahulu, hanya seorang wakil pembangkang, tetapi (pada kali ini) kita telah bersetuju supaya Majlis Perkhidmatan Parlimen mempunyai dua orang ahli pembangkang di Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang tidak dinamakan oleh Perdana Menteri atau Ketua Majlis, tetapi Jawatankuasa Pemilih Dewan Negara dan disahkan oleh Dewan Negara.
Malah, beliau turut memberikan jaminan bahawa undang-undang tersebut dapat memenuhi matlamat yang dihasratkan oleh semua pihak dan percaya bahawa Dewan Negara akan membantu mencatatkan sejarah yang mampu membentuk Malaysia yang lebih telus, berintegriti serta berwibawa menerusi sokongan terhadap cadangan pindaan tersebut.
Terdahulu, cadangan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025 telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 4 Mac lalu dengan persetujuan 148 orang ahli parlimen yang melibatkan pindaan lima fasal dalam Perkara 26, Perkara 57 dan Perkara 65, Perlembagaan Persekutuan berkaitan dengan keanggotaan perkhidmatan parlimen.