Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Pendidikan (KPM) menyambut baik saranan Perdana Menteri Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk meningkatkan bilangan murid dalam bidang Sains, Teknologi Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi menampung keperluan sumber manusia dalam bidang berkaitan.
KPM menerusi satu kenyataan memaklumkan bahawa untuk merealisasikan sasaran dasar sebanyak 60 peratus murid dalam bidang STEM, semua sekolah berasrama penuh (SBP) melaksanakan pakej STEM dengan murid sejumlah 18 113 atau 98.86 peratus daripada jumlah keseluruhan murid SBP. Manakala baki sejumlah 209 orang murid SBP atau 1.14 peratus lagi mengambil pakej Sains Sosial.
KPM akan turut memperkenalkan inisiatif SBP khusus yang memberikan tumpuan kepada bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Walau bagaimanapun, kerjasama rentas kementerian dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) turut akan dipertingkatkan bagi memperkasakan pembudayaan STEM di semua jenis sekolah dan pada setiap peringkat.
KPM juga menawarkan Pakej STEM di SBP, antaranya termasuklah menggalakkan murid mengambil semua mata pelajaran Sains Tulen (Fizik, Kimia dan Biologi) dan Matematik Tambahan; murid mengambil semua mata pelajaran Sains Tulen, Matematik Tambahan, Bahasa Arab, Pendidikan al-Quran dan As-Sunnah serta Pendidikan Syariah Islamiah; murid mengambil semua mata pelajaran Sains Tulen, Matematik Tambahan, Bahasa Arab, Hifz Al-Quran dan Maharat Al-Quran; atau murid mengambil dua mata pelajaran Sains Tulen iaitu Fizik dan Kimia, Matematik Tambahan serta Sains Komputer.
Tumpuan KPM pada waktu ini adalah untuk meningkatkan enrolmen murid yang mengambil mata pelajaran Sains Tulen di semua jenis sekolah.