Diterbitkan pada 13 Mac 2025, 13:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kubang Kerian – Pusat Islam Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan Kubang Kerian menganjurkan Seminar Kenegaraan Malaysia Imarah MADANI, iaitu sebuah program memperkasakan semangat kenegaraan dalam kalangan mahasiswa. Seminar ini dianjurkan oleh Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), Pejabat Perdana Menteri Negeri Kelantan dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar & Alumni (BHEPA) USM Kampus Kesihatan.

YBrs. Encik Khairul Eruwan, YBrs. Encik Mohd Dahari bersama-sama pegawai BHEPA USM dan mahasiswa Kampus Kesihatan USM, Kubang Kerian, Kelantan.

Seminar ini menampilkan Pendaftar Universiti Malaysia Kelantan, YBrs. Encik Khairul Eruwan Abdul Halim sebagai penceramah utama dan dibantu oleh Penolong Pengarah AKM, Pejabat Perdana Menteri Negeri Kelantan, YBrs. Encik Mohd Dahari Zakaria sebagai moderator yang mengemudi sesi perbincangan dengan penuh dinamik dan interaktif.

Seminar ini dihadiri oleh mahasiswa dari pelbagai latar belakang, termasuk bidang perubatan, pergigian serta pelajar antarabangsa.

Menurut YBrs. En. Khairul Eruwan, seminar ini bertujuan untuk memperkasakan pengetahuan berkaitan Modul Latihan Kenegaraan Madani dalam kalangan mahasiswa, agar mereka lebih memahami sejarah, budaya dan tanggungjawab sebagai agen perubahan dalam pembangunan masyarakat dan negara.

“Generasi muda perlu lebih cakna terhadap sejarah negara kerana tanpa sejarah, generasi muda tidak akan memahami identiti dan hala tuju negara. Jati diri yang kuat serta semangat patriotik adalah tunjang kepada kepimpinan masa hadapan yang progresif dan berwawasan.” ujar YBrs. En. Khairul Eruwan.

Dalam sesi perkongsiannya, beliau turut menekankan lima strategi utama bagi meningkatkan pelibatan belia dalam kenegaraan. Antaranya termasuklah dalam memanfaatkan teknologi untuk menyebarkan kefahaman kenegaraan secara lebih meluas dan mempromosikan nilai patriotisme melalui ikon serta tokoh muda yang berpengaruh.

“Penganjuran program kenegaraan yang lebih kreatif dan menarik minat belia turut disenaraikan. Dalam aspek tertentu, konsep kenegaraan haruslah berkaitan dengan isu semasa yang dekat dengan jiwa generasi muda kini. Strategi terakhir ialah dengan mengaplikasikan nilai-nilai Malaysia Madani seperti kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan kasih sayang dalam kehidupan seharian,”ujar beliau.

YBrs.En. Khairul Eruwan (tengah) menerima cenderahati daripada YBrs. En. Mohd Dahari.

Tambah beliau, seminar tersebut berjaya menyemarakkan lagi semangat patriotisme dalam kalangan mahasiswa dengan penekanan terhadap peranan mereka sebagai pemimpin masa hadapan. Beliau berpandangan bahawa dengan adanya program seperti ini, slogan Malaysia MADANI akan terus berkembang dengan kepimpinan generasi muda yang berdaya saing, berintegriti dan berpandangan jauh.

Kredit Foto: Ahmad Farihan bin Abdul Manan.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi