Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangOleh: ELMU
Bangi – Enforcement, Leadership and Management University (ELMU), melalui Yayasan ELMU akan menawarkan tajaan penuh kepada 10 orang daripada golongan B40 dalam kalangan warga dan keluarga Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk melanjutkan pelajaran di universiti tersebut.
Ketua Eksekutif dan Naib Canselor ELMU, YBhg. Profesor Datuk Dr. Kassim Noor Mohamed berkata, tawaran tersebut terbuka kepada calon yang berminat mengikuti program Disaster Management dan International Law Enforcement bermula Mac 2025, sama ada secara sepenuh masa atau separuh masa.
“Sebanyak lima biasiswa disediakan untuk mereka yang memenuhi syarat minimum tiga kredit dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau kelayakan setaraf, bagi mengikuti program Diploma in Disaster Management dan Diploma in International Law Enforcement,” ujar YBhg. Profesor Datuk Dr. Kassim.
Menurut beliau, lima lagi biasiswa disediakan untuk mereka yang lulus Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dengan CGPA 2.0, atau lulus Sijil Tinggi Agama Malaysia, serta Diploma/Asasi/Matrikulasi dengan CGPA 2.0, untuk mengikuti program Bachelor in Disaster and Emergency Management (Honours) dan Bachelor in International Law Enforcement (Honours).
YBhg. Profesor Datuk Dr. Kassim berkata demikian selepas majlis pelancaran Bulan Pertahanan Awam dan Wacana Nasional mengenai Struktur dan Hala Tuju Kesukarelawanan Malaysia, yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, di Institut Semarak Felda.

Pada majlis tersebut, YBhg. Profesor Datuk Dr. Kassim turut menandatangani Nota Kerjasama dengan Ketua Pesuruhjaya APM, YAS Datuk Aminurrahim Mohamed.
YAS Datuk Aminurrahim menyambut baik inisiatif ini kerana ini merupakan kali pertama APM menerima tawaran biasiswa daripada sebuah universiti untuk kakitangan dan keluarga mereka.
Terdahulu, dalam ucapannya semasa melancarkan acara tersebut, YB Datuk Seri Dr. Noraini menekankan bahawa perancangan yang jelas dalam aktiviti kesukarelawanan akan memastikan keberkesanannya dan memberikan impak positif kepada masyarakat.
“Apabila sukarelawan memahami matlamat sesuatu program dan diselaraskan dengan baik, mereka akan dapat melaksanakan aktiviti dengan lebih teratur dan sistematik,” ujar beliau.

Beliau turut menambah, dengan perancangan strategik jangka panjang dan penyelarasan antara pihak berkepentingan, setiap inisiatif yang dilaksanakan akan lebih tersusun dan memberi impak kepada masyarakat.
Sementara itu, bersempena dengan Hari Ulang Tahun Pertahanan Awam pada 24 Mac ini, APM akan menganjurkan Bulan Pertahanan Awam 2025 dari 10 Mac hingga 10 April, dengan pelaksanaan 73 program dan aktiviti, termasuk penganugerahan 73 kategori penghargaan kepada pegawai, anggota dan masyarakat yang berjasa pada peringkat daerah dan unit pertahanan awam di seluruh negara.