Diterbitkan pada 2 Mac 2025, 12:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Alor Setar – Kementerian Pertahanan Malaysia meningkatkan peruntukan daripada RM19.73 bilion pada tahun 2024 kepada RM21.13 bilion pada tahun 2025 untuk memenuhi kesejahteraan hidup veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Negeri Kedah.

Timbalan Menteri Pertahanan, YB Tuan Haji Adly Zahari sewaktu menyampaikan sumbangan dalam Majlis Penyampaian Ganjaran Hilang Upaya Veteran ATM di Hotel Grand Alora, Alor Setar, Kedah, berkata peruntukan ini merangkumi pengurusan hal ehwal veteran dan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) sebagai institusi khusus yang bertanggungjawab membantu, mengurus, memantau dan memastikan veteran ATM menikmati kesejahteraan hidup selayaknya untuk menerima peruntukan sebanyak RM239 juta dengan peningkatan sebanyak RM13 juta berbanding dengan RM226 juta pada tahun lalu.

JHEV turut menjelaskan kepada semua pihak, termasuklah veteran ATM sendiri tentang keistimewaan dan kelebihan ekosistem persaraan ATM. Antara keistimewaan yang diterima oleh mereka termasuklah pelbagai imbuhan, elaun, ganjaran serta sokongan kepada diri dan ahli keluarga. Selain itu, mereka turut menerima sistem sokongan yang merangkumi pelbagai skim bantuan seperti bantuan sara hidup, bantuan persekolahan, bantuan kemasukan ke institut pengajian tinggi (IPT), bantuan peralatan pesakit, bantuan bencana alam dan insentif perumahan dengan kerjasama Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

YB Tuan Haji Adly Zahari juga yakin bahawa JHEV akan melaksanakan tanggungjawab itu dengan sebaik-baiknya, menurutnya lagi:

Kementerian Pertahanan melalui JHEV ATM menghargai jasa dan pengorbanan veteran ATM dengan mempertingkat aspek kebajikan serta menambah baik kadar Faedah Hilang Upaya (FHU). Antara peningkatan tersebut termasuklah Pencen Hilang Upaya (PHU), iaitu sebanyak 10 peratus kenaikan, Ganjaran Hilang Upaya (GHU) antara RM6,000.00 hingga RM72,000.00 mengikut peratus kecederaan individu semasa tugas aktif (one-off), Elaun Layanan Sentiasa daripada RM440.00 dinaikan kepada RM1,500.00 sebulan dan kenaikan Elaun Pelajaran kepada anak penerima PHU daripada RM200.00 hingga RM685.00 kepada RM1,600.00 hingga RM5,400.00.

Beliau berkata demikian ketika meraikan sebanyak 51 orang veteran ATM serta keluarga dan 24 persatuan veteran ATM Negeri Kedah bersempena dengan Majlis Penyampaian Ganjaran Hilang Upaya Veteran 2025 anjuran Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) di Hotel Grand Alora, Alor Setar, Kedah, baru-baru ini.

Selain itu, beliau menyatakan bahawa usaha untuk memperkasakan veteran ATM akan dikemas kini melalui inisiatif yang digariskan dalam Amanat Perutusan Tahun Baharu 2025 oleh Menteri Pertahanan, iaitu Transformasi Kesejahteraan Veteran ATM, Peningkatan Taraf Sosioekonomi melalui inisiatif Program Outreach Veteran ATM, melalui lawatan ke kawasan pedalaman serta Strategi Inisiatif, Pengiktirafan Jasa Pejuang Negara melalui peningkatan Faedah Hilang Upaya (FHU) dan lain-lain lagi.

Dalam majlis yang sama, Timbalan Menteri Pertahanan, YB Tuan Haji Adly Zahari turut menyampaikan ganjaran hilang upaya kepada 35 orang veteran ATM yang cedera sewaktu melaksanakan operasi atau latihan, komputer riba kepada lapan orang anak veteran ATM, sumbangan rahmah serta 240 sumbangan kepada Persatuan Veteran ATM Negeri Kedah.

Timbalan Menteri Pertahanan, YB Tuan Haji Adly Zahari menyampaikan bantuan komputer riba kepada  anak veteran ATM.

 

Seorang veteran ATM yang menerima cek Ganjaran Hilang Upaya daripada Timbalan Menteri Pertahanan YB Tuan Haji Adly Zahari setelah kehilangan kaki kiri akibat terpijak jerangkap samar semasa menjalankan operasi menyelamat.

 

Terdahulu, YB Tuan Haji Adly Zahari telah mengadakan lawatan kebajikan ke 11 buah rumah dan berpeluang bertemu dengan dua orang usahawan dalam usaha untuk menyantuni veteran ATM di daerah Pokok Sena selain merancang untuk mengadakan lawatan sebanyak 13 siri di kawasan pedalaman, termasuklah di Pahang, Johor serta beberapa kawasan bandar di Kuala Lumpur dan Selangor.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Timbalan Ketua Pengarah JHEV ATM, Encik Sophian Isswandy Ismail; Panglima 6 Briged, Markas Keenam Infantri Malaysia,  Brigedier Jeneral Encik Mohd Fouzi Sulaiman; Komanden Kolej Tentera Udara Alor Setar, Brigedier Jeneral Encik Ramli Mohd Abd Jabar; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Veteran ATM (B) Leftenan Kolonel Encik Azwadi Jamian; Pengurus Pembangunan Agensi Wilayah Utara Etiqa Family Takaful Berhad, Encik Alimy Mawardy Abdul Halim dan persatuan veteran ATM Negeri Kedah.

 

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi