Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 28 Februari 2025, 10:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kangar – Sebanyak 74 buah sekolah rendah dan sebuah sekolah dalam hospital di Perlis menerima sumbangan papan pintar dan peralatan teknologi terkini melalui inisiatif program Jamalullail LeADS in Digital School (JLiDS).

Program ini dilaksanakan bertujuan untuk meningkatkan akses kepada pendidikan digital selaras dengan Dasar Pendidikan Digital.

Majlis Peluncuran Jamalullail LeADS in Digital School (JLiDS) Peringkat Negeri Perlis 2025 telah disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Baginda dalam ucapannya bertitah bahawa kejayaan dalam pendidikan akan membentuk rakyat berkualiti dan bukan sahaja mampu menghadapi cabaran dunia digital, tetapi menjadi rakyat cemerlang yang membawa kemajuan kepada negeri dan negara.

Saya komited untuk memastikan bahawa segala usaha yang dilakukan melalui program ini bukan sahaja memberikan impak positif kepada pencapaian akademik, bahkan demi kesejahteraan dan kebajikan rakyat.

Selain itu, menurut baginda, pendidikan bukan sahaja berkaitan dengan ilmu yang diterima tetapi juga menyentuh pembentukan sahsiah murid yang seimbang.

Baginda turut berharap program tersebut dapat memperkasakan pendidikan di Perlis dan memberikan manfaat besar kepada anak-anak negeri.

Sementara itu, Menteri Pendidikan, Yang Berhormat (YB) Puan Fadhlina Sidek menzahirkan keyakinan bahawa para guru dapat meningkatkan kualiti kaedah pengajaran dan pembelajaran dalam suasana yang lebih dinamik menerusi bantuan peralatan teknologi.

“Kaedah pengajaran dan pembelajaran yang menarik dengan menggunakan teknologi terkini menjadi platform terbaik kepada murid untuk meneroka dunia digital yang semakin berkembang pesat,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, pihak sekolah yang terlibat dengan program ini diharapkan dapat memanfaatkan sepenuhnya penggunaan papan pintar dan perisian yang dibekalkan ini untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.

Pada masa yang sama, DYTM Tuanku Syed Faizuddin yang merangkap Pengerusi Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis turut berkenan menyaksikan acara menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara YTSP Perlis dengan Persatuan Kebudayaan Han Malaysia dan Akademi Pendigitalan Digital serta penyerahan cek sumbangan bernilai RM350,000 kepada yayasan tersebut.

Acara menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara YTSP Perlis dengan Persatuan Kebudayaan Han Malaysia dan Akademi Pendigitalan Digital.

Majlis ini dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Perlis dengan kerjasama YTSP Perlis, Konsortium Persatuan Kebudayaan Han Malaysia yang terdiri daripada Han Culture (M) Sdn. Bhd., Syarikat Akademik Pendigitalan dan ViewSonic Malaysia.

Keberangkatan tiba baginda dalam majlis tersebut disambut oleh Menteri Pendidikan, YB Puan Fadhlina Sidek; Menteri Besar Perlis, Yang Amat Berhormat (YAB) Tuan Mohd Shukri Ramli; Pengarah Pendidikan Negeri Perlis, YBrs. Encik Rose Aza Che Arifin dan Setiausaha Kehormat YTSP Perlis, YBhg. Datuk Johari Mohd Darus.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi