Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 25 Februari 2025, 12:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Majlis Anugerah Khas Buku Negara pada tahun ini menyaksikan buku Pesan Hulubalang: Membongkar Rahsia Falsafah Kepahlawanan Melayu Generasi Kini dilancarkan.

Pelancaran buku tersebut disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Rustam di Ballroom Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur semalam.

Pengerusi Lembaga Pengelola Yayasan Pembangunan Buku Negara, YBhg. Tan Sri Profesor Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar ketika menyampaikan ucapannya berkata buku berkenaan mempunyai nilai yang besar dan bukan sahaja mengangkat semangat kepahlawanan Melayu, tetapi sebuah rujukan untuk memahami falsafah dan prinsip perjuangan yang relevan dalam dunia moden.

Buku ini bukan sekadar menceritakan sejarah, pengalaman, festival silat dan adat Melayu, tetapi membongkar pemikiran strategik dan nilai yang telah membentuk jati diri pejuang bangsa sejak dahulu kala.

“Budaya tidak boleh sekadar menjadi kenangan dalam lipatan sejarah, budaya harus hidup diamalkan dan diwariskan kepada generasi seterusnya agar terus relevan dan membentuk jati diri bangsa,” ujarnya.

Lebih menarik buku ini bukan memberikan manfaat kepada orang Melayu semata-mata dan sebagai sebuah negara yang berbilang kaum, nilai kepahlawanan bukan hanya milik sesebuah bangsa tetapi dikongsi bersama-sama dengan semua rakyat Malaysia dalam semangat perpaduan dan keharmonian.

“Semangat juang, nilai keberanian serta pengorbanan dan kebaikan bersama ialah nilai sejagat yang harus dihayati oleh semua rakyat tanpa mengira kaum,” tambah beliau.

Selain itu, beliau turut menzahirkan harapan agar lebih banyak penulis, ilmuwan dan pemikir untuk tampil ke hadapan menghasilkan karya berbentuk pemikiran dan nilai bangsa.

Malah, menurutnya lagi, kepimpinan negara perlu menyokong usaha memartabatkan penerbitan buku negara menerusi sebuah peruntukan yang khusus serta menggalakkan setiap agensi untuk terlibat menerbitkan buku sebagai tanda kenangan dan ingatan kepada pelapis dan generasi akan datang.

Buku setebal 254 muka surat karya Emil Bahari dan Halim Hamit yang diterbitkan oleh Universiti Utara Malaysia Press pada tahun 2023 itu mengisahkan pemikiran strategi Melayu melalui titipan budaya adat dan peribahasa, penyusunannya melalui pesan seorang hulubalang kepada muridnya.

Sementara itu, turut diadakan penyampaian buku berkenaan oleh TYT Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Rustam kepada 10 orang penerima terpilih sebagai simbolik kepada pelancarannya.

Turut hadir dalam majlis pelancaran buku tersebut ialah Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, YBrs. Tuan Haji Mohd Khair Ngadiron; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, YBhg. Dato’ Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Perancangan), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara,  YBrs. Encik Mohd Radzi Omar; Ketua Polis Kuala Lumpur, YBhg. Datuk Rusdi Mohd Isa dan Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara, YBhg. Datuk Wira Azuan Effendy Zairakif Zairakithnaini.

Kredit Foto: Adib Zulkifli
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi