Diterbitkan pada 24 Februari 2025, 17:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuantan – Sebanyak 90 murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) (Perempuan) Methodist (MGPS) Kuantan memulakan perjalanan ke sekolah menengah dengan penuh semangat menerusi Majlis Mengirim Kasih yang menjadi Simbolik Penyerahan dan Penerimaan murid tingkatan satu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) (Perempuan) Methodist (MGSS) Kuantan, berlangsung dengan meriah sekali.

Majlis ini diadakan untuk menyantuni murid yang melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah yang diteruskan oleh pihak pengurusan dan pentadbiran MGPS bersama-sama dengan guru tahun enam.

Menurut Guru Besar SK (P) Methodist Kuantan, Puan Masniza Muhamad Yusof @ Kamarudin, dalam ucapannya berpesan agar murid sentiasa menjaga nama baik MGPS.

Barisan pentadbir MGSS dan MGPS bergambar kenang-kenangan.

“Kami berharap agar kamu semua sentiasa berusaha menjadi yang pelajar yang terbaik dan menjadi kebanggaan sekolah. Jaga nama baik MGPS dan semoga kejayaan mengiringi setiap langkah kamu,” katanya.

Dalam ucapannya, beliau turut mengingatkan anak-anak alumni MGPS untuk terus menjaga diri dan menjaga nama baik sekolah. “Kamu semua adalah duta sebenar MGPS dan walau di mana jua kamu berada, kamu tetap menjadi anak MGPS selamanya”.

Sehubungan dengan itu, Pengetua MGSS, Puan Josephine Hezrin Azhar, mengalu-alukan kehadiran murid MGPS dan memberikan nasihat kepada murid tingkatan satu bahawa suasana sekolah menengah adalah sangat berbeza daripada sekolah rendah.

Beliau juga mengingatkan pelajar agar lebih bersedia dan perlu segera menyesuaikan diri dengan suasana yang berbeza daripada sebelumnya, namun tidak perlu risau kerana guru dan pelajar di MGSS akan sentiasa berada di sisi mereka untuk memberikan bantuan dan sokongan.

“Kami di sini akan sentiasa bersedia membantu kamu beradaptasi dengan dunia baharu ini,” ujar Puan Josephine.

Suasana semakin meriah apabila kumpulan pancaragam sekolah mengiringi setiap langkah murid baharu dari laluan utama sekolah MGPS ke MGSS sambil memainkan lagu semangat dan kegembiraan bagi menyambut kedatangan murid baharu tersebut.

Pihak pengurusan MGPS yang turut mengiringi murid tersebut mengucapkan terima kasih atas sambutan luar jangkaan yang diberikan oleh warga MGSS.

Program ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara dua sekolah tetapi juga memberikan semangat dan keyakinan kepada murid untuk menghadapi cabaran di sekolah menengah. Dengan adanya sokongan daripada pihak sekolah dan rakan senior diharap mereka dapat menempuh perjalanan sekolah menengah dengan lebih yakin dan bersemangat.

 

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi