Syaza Wardina .
Diterbitkan pada 22 Februari 2025, 10:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Universiti Muhammadiyah Malaysia (UMAM) di Perlis kini giat memperkukuh pengurusan universiti melalui perancangan yang teliti, berfokuskan strategi jangka panjang demi memenuhi keperluan pelajar, pensyarah dan pihak pentadbiran.

Usaha ini selaras dengan aspirasi universiti untuk mencapai kecemerlangan akademik serta pengurusan yang efisien dan berdaya saing.

Dalam usaha memperkasakan jaringan akademik, UMAM bersedia menjalinkan kerjasama strategik dengan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Perlis seperti Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis, Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UNISIRAJ), Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) dan Institut Pendidikan Guru (IPGM) Perlis.

Naib Canselor Universiti Muhammadiyah Malaysia (UMAM), Dr. H. Saidul Amin mempersembahkan laporan pengurusan UMAM kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, dalam sesi sembah menghadap hormat di Galeri Diraja Arau, baru-baru ini.

Naib Canselor UMAM, Dr. H. Saidul Amin berkata, kolaborasi ini bertujuan untuk melahirkan graduan berkualiti, memperkukuh penyelidikan serta inovasi, sekali gus meningkatkan imej dan kedudukan UMAM pada persada pendidikan tinggi.

Beliau turut menyatakan harapan agar hubungan erat antara UMAM dengan jabatan serta agensi pada peringkat negeri dan persekutuan khususnya Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) terus diperkukuh.

Hubungan ini penting bagi memastikan kelancaran pelaksanaan setiap program yang dirancang, seterusnya memberikan manfaat kepada masyarakat dan pembangunan negeri.

Beliau berkata demikian selepas mempersembahkan laporan pengurusan UMAM kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, dalam sesi sembah menghadap hormat di Galeri Diraja Arau, baru-baru ini.

Dr. Saidul Amin dilantik sebagai Naib Canselor UMAM bagi menggantikan Prof. Ir. Dr. Waluyo Adi Siswanto yang kini bertugas sebagai Profesor di Universitas Muhammadiyah Surakarta, Jawa Tengah.

Beliau merupakan alumni Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) dan Universiti Malaya (UM) serta masih memegang jawatan sebagai Rektor di Universitas Muhammadiyah Riau.

Turut hadir dalam sesi sembah menghadap tersebut ialah Dekan Fakulti Pendidikan, Sains Sosial dan Pengajian Islam (FESSIS) UMAM, Prof. Dr. Noor Azlan Ahmad Zanzali.

UMAM yang terletak di Padang Besar, Perlis kini menawarkan kursus mikro-kredensial serta program doktor falsafah (PhD) dalam bidang perniagaan, pendidikan, sains, teknologi, sains sosial dan pengajian Islam.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi