Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Majlis Amanat Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia Sempena Pembukaan Sesi Persekolahan 2025/2026 menyaksikan agenda reformasi pendidikan negara menjadi tumpuan utama Kementerian Pendidikan Malaysia pada tahun ini.
Majlis yang bertemakan “Memperkemas Gerak Kerja, Mereformasi Sekolah” tersebut berlangsung di Auditorium Kompleks E, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada pagi tadi.
Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, YBrs. Tuan Haji Azman Adnan berkata reformasi dalam sistem pendidikan merupakan suatu keperluan untuk memastikan keberkesanan, kecekapan dan daya saing yang berterusan.
“Perkara ini selaras dengan amanat Ketua Setiausaha Negara sebelum ini yang menyatakan bahawa perubahan bukan lagi suatu pilihan, tetapi sebuah keperluan untuk menjamin kemajuan dan kelestarian negara secara keseluruhannya,” katanya.
Ujar beliau, KPM perlu memperkemas gerak kerja pada tahun ini khususnya dalam usaha mereformasi sekolah dengan berpandukan kepada tiga elemen utama, iaitu keutamaan, keselarasan dan kebersamaan untuk mencapai aspirasi pendidikan negara.
Oleh itu, saya menyeru kepada seluruh warga KPM supaya kita tidak terus jumud dalam pendidikan sekiranya kita mahukan perubahan besar dalam pendidikan negara.
“Pendidikan sifatnya dinamik dan kita perlu memastikan semua pihak pada setiap peringkat pimpinan termasuk pengarah, pengetua, guru besar dan guru mestilah komited untuk meningkatkan kualiti kepimpinan dan pengajaran dari semasa ke semasa,” tegasnya.
Selain itu, beliau menzahirkan keyakinan bahawa pendekatan tersebut menjadikan pendidikan sebagai alat transformasi sosial yang bukan sahaja memanusiakan manusia, tetapi mampu menyumbang kepada kemajuan negara secara menyeluruh.
Beliau turut mengulas lanjut mengenai lapan bidang keutamaan yang mesti ditangani oleh warga KPM sepanjang tahun ini, iaitu isu keciciran, kepimpinan pendidikan MADANI, peningkatan profesionalisme guru, isu literasi dan numerasi, isu kesejahteraan sekolah, generasi MADANI, pentaksiran antarabangsa dan reformasi sekolah.
Pada tahun ini, KPM akan melaksanakan Pelan Tindakan Reformasi Sekolah untuk meningkatkan kualiti pendidikan menerusi kecekapan pentadbir, budaya kerja guru dan kompetensi murid sekolah.
“Reformasi sekolah akan melibatkan pengkategorian sekolah kepada tiga jenis, iaitu sekolah fokus, sekolah aspirasi dan sekolah inspirasi,” tambahnya lagi.
Kita mempunyai beberapa instrumen sebagai mekanisme pengesanan keberhasilan sekolah supaya kita berada pada landasan yang betul seperti Standard Kualiti Pendidikan Malaysia, School Support Tracker (ScST), Program Transformasi Daerah, Indeks Tranformasi Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah, Dialog Prestasi serta Pentaksiran Berasaskan Sekolah.
Di samping itu, beliau turut menyentuh beberapa prinsip kerja yang menjadi teras kepada keberkesanan pelaksanaan inisiatif pendidikan pada setiap peringkat, iaitu berasaskan kepada data, berdaya tahan, berorientasikan keberhasilan, pandu arah dan kecekapan.
Pada tahun ini juga, kita sedang rancak membangunkan pelan pembangunan pendidikan baharu setelah Pelan Pembangunan Pendidikan 2013–2025 hampir sampai ke penghujungnya akan tamat pada tahun ini.
Kita sedang berada pada gelombang akhir dan ini ialah fasa kritikal untuk mentransformasikan sistem pendidikan kita.
Malah, beliau juga memaklumkan bahawa KPM sedang menyediakan kurikulum baharu, iaitu Kurikulum Persekolahan 2027 menerusi enam prinsip utama, iaitu fleksibel, mudah difahami, bermakna, bersifat kontekstual, relevan dan digubal dalam pelbagai mod.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Setiausaha KPM, YBhg. Datuk Haji Ruji Haji Ubi; Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembangunan), YBhg. Datuk Wan Hashim Wan Rahim; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), YBhg. Dato’ Ahmad Suhaimi Endut dan pegawai-pegawai kanan di bawah KPM.