Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKemaman – Lawatan pendidikan, kerjaya dan hala tuju Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Banggol, Kemaman, ke Kolej Matrikulasi Pahang memupuk minat pelajar terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Selain memberikan pendedahan kepada pelajar tentang kemudahan pendidikan di Kolej Matrikulasi Pahang, lawatan ini juga bertujuan untuk memberikan peluang kepada pelajar melihat sendiri keadaan dan peralatan yang digunakan di makmal sains untuk pembelajaran STEM. Keadaan ini sekali gus memberikan inspirasi kepada pelajar untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang teknikal dan saintifik.
Walau bagaimanapun, secara keseluruhannya, lawatan ini memberikan impak yang positif terhadap pelajar SMK Banggol, Kemaman. Pelajar dapat menikmati suasana pembelajaran di kolej matrikulasi serta melihat kemudahan yang disediakan untuk menyokong pembelajaran dalam bidang STEM.
Oleh itu, lawatan seperti ini diharap dapat dijadikan sebagai aktiviti tahunan untuk memberikan pendedahan kepada pelajar seterusnya meningkatkan minat mereka untuk melanjutkan pengajian dalam bidang sains dan teknologi.

Lawatan ini melibatkan penyertaan sebanyak 41 orang pelajar tingkatan lima dan tiga orang guru pengiring dari SMK Banggol, Kemaman. Melalui lawatan ini, pelajar dapat mendalami ilmu dalam bidang STEM yang sangat relevan dengan perkembangan dunia pada masa ini.
Selepas sesi taklimat program daripada Penolong Pengarah Hal Ehwal Pelajar (HEP), Puan Nor Hazura Mohd, pelajar dibawa melawat ke kawasan kolej untuk melihat suasana pembelajaran pelajar matrikulasi dan kemudahan yang disediakan di Kolej Matrikulasi Pahang.
Slot motivasi dan hala tuju selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah disampaikan oleh pensyarah Pengajian Am Matrikulasi, iaitu Encik Nasrul Isyam Abdul Hamid. Beliau mengingatkan pelajar agar membuat keputusan dan menentukan hala tuju dengan tepat untuk mencapai matlamat jangka panjang.
“Apabila kita tahu tujuan dan hala tuju kerjaya pada masa hadapan, kita akan lebih cenderung untuk melihat peluang dan penyelesaian, bukan kesukaran yang datang,” kata Encik Nasrul Abdul Hamid.