Diterbitkan pada 20 Februari 2025, 17:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Alor Setar – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah yang melaksanakan Program Istiqbal Ramadan telah menyampaikan bakul Ramadan kepada 42 orang pekerja keselamatan dan kebersihan yang bertugas di kawasan JPN Kedah semalam.

Program ini yang mengetengahkan tema “Kebersamaan dan Keharmonian Memacu Pendidikan Kedah” telah disempurnakan oleh Pengarah Pendidikan Negeri Kedah, Yang Berusaha (YBrs.) Encik Ismail Othman.

Selain itu, antara inisiatif program ini termasuklah meringankan beban pekerja dalam membuat persiapan menyambut bulan Ramadan serta menghargai sumbangan dan dedikasi mereka dalam memastikan keselamatan dan kebersihan persekitaran jabatan terjaga.

YBrs. Encik Ismail Othman turut menekankan kepentingan  menjaga keharmonian dan kebersamaan jabatan terutamanya dalam membangunkan sektor pendidikan di negeri ini.

“Semoga Ramadan pada kali ini lebih bermakna dan membawa kebahagiaan kepada semua. Kita harus mengamalkan sikap saling membantu dan menghargai antara satu sama lain demi memacu pendidikan Kedah ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Beliau turut mengucapkan selamat berpuasa kepada warga JPN Kedah serta keluarga besar sekolah rendah dan sekolah menengah di sekitar Kedah.

Majlis penyampaian sumbangan yang berlangsung di pekarangan JPN Kedahturut disertai oleh pegawai jabatan serta wakil dari pelbagai bahagian. Program ini juga menjadi simbolik kepada semangat kebersamaan dalam usaha membina persekitaran pendidikan yang lebih harmoni.

Dengan tema “Kebersamaan dan Keharmonian Memacu Pendidikan Kedah”, program ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif kebajikan pada masa hadapan.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi