Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTanjung Bidara- Program Karnival Sukan Dua Jiwa Satu Hati dan Sukan antara Badan Beruniform Piala Ketua Menteri Melaka Tahun 2025 yang diadakan di Pantai Tanjung Bidara bermula 14 Februari hingga 17 Februari lalu disifatkan mampu merapatkan jurang antara anggota badan beruniform dengan rakyat.
Dalam ucapannya, Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata program dua dalam satu itu secara tidak langsung dapat mengeratkan silaturahim antara semua agensi yang bertugas dalam menguatkuasakan undang-undang dengan masyarakat menerusi acara sukan dan aktiviti kemasyarakatan.
Beliau menyatakan bahawa program yang julung kali diadakan menjadi satu wadah penting untuk memperkukuh jaringan kerjasama strategik, sekali gus dapat merapatkan ukhwah silaturahim antara tentera, agensi kerajaan dan masyarakat.
“Kerajaan negeri sentiasa cakna dengan pelibatan masyarakat menerusi program seumpama ini kerana disifatkan sebagai jambatan bagi mengeratkan hubungan pasukan beruniform dengan rakyat,”ujar beliau ketika berucap dalam majlis perasmian penutup.
Menurut Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, sebanyak 11 badan beruniform membabitkan lebih 7000 penyertaan daripada anggota badan beruniform mengambil bahagian pada karnival yang dipertandingkan, iaitu bola sepak, sepak takraw, bola jaring, futsal, badminton, golf, merentas desa, tarik tali dan bola tampar.
“Agensi yang terlibat termasuklah Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Jabatan Penjara Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, JAPERUN Tanjung Bidara dan JAPERUN Sungai Udang,”. tambahnya lagi.

Karnival Sukan Dua Jiwa Satu Hati dan Sukan antara Badan Beruniform Piala Ketua Menteri Melaka ini dimeriahkan lagi dengan kehadiran pengunjung sebanyak 70,000 dengan aksi pertunjukan payung terjun, demontrasi aset ketenteraan,persembahan khas anggota tentera serta Tanjung Bidara Berselawat, konsert artis popular dengan penampilan khas artis legenda tanah air seperti Datuk Amy Search, Ameng Spring, Man Kidal dan Zamani SLAM, selain program kemasyarakatan berupa penyampaian sumbangan kepada golongan yang memerlukan.
Turut hadir dalam majlis Speaker Dewan Undangan Negeri, YB Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka,YAB Dato’ Azhar Arsyad; Exco Kanan Perumahan,Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana,YB Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta Yang Dipertua MPAG, TPr. Saifuddin Abdul Karim; Panglima 3 Divisyen Mejar Jeneral Dato’ Mohamad Suria Mohamad Saad; Asisten Ketua Staf Bahagian Operasi Latihan dan Pertahanan, Markas Angkatan Tentera Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Indera Zahari Mohd Ariffin; Asisten Ketua Staf Operasi dan Latihan Tentera Darat, Mejar Jeneral Dato’ Rashidin Hashimi Ab Rashid; Panglima-Panglima Formasi, Pegawai-pegawai Kanan serta Ketua-ketua jabatan dan agensi.