Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 15 Februari 2025, 15:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Malaysia dan Mesir senada dalam pendirian menolak tindakan menghalau rakyat Palestin keluar dari bumi Gaza.

Hal ini demikian kerana langkah tersebut bakal memberikan kesan buruk terhadap usaha mewujudkan sebuah negara Palestin yang merdeka, demikian menurut Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataannya semalam ketika menghubungi Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi.

Beliau memaklumkan bahawa perbincangan tersebut menyentuh perkembangan terkini isu kemanusiaan dan usaha pembangunan semula Gaza.

Di samping itu, beliau mengulangi pendirian Malaysia untuk terus membantu rakyat Palestin terutamanya bagi perkara yang membabitkan bantuan kemanusiaan, perubatan dan pembangunan semula, di samping tekal menyokong perjuangan menuntut keadilan mereka.

Saya menzahirkan penghargaan terhadap pendirian Presiden El-Sisi dan kerajaan Mesir yang terus menghulurkan bantuan dan mempermudah usaha Malaysia menyampaikan sumbangan dan perubatan kepada rakyat Palestin yang terkesan dengan serangan serta kekejaman genosid rejim Zionis Israel.

Tambah beliau, Abdel Fattah El-Sisi menyokong usaha sama yang digerakkan oleh Jepun dan Malaysia untuk membangunkan semula Gaza menerusi inisiatif Kerjasama Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD).

“Gerakan membantu negara Palestin pasti lebih berkesan sekiranya lebih banyak negara bersolidariti dan bersama-sama dalam usaha ini,” tegasnya dalam hantaran di laman Facebook beliau.

Selain itu, kedua-dua pemimpin berkenaan turut membicarakan hubungan dua hala Malaysia – Mesir dan mengulangi komitmen untuk memperkukuh kerjasama ekonomi, pelaburan, perdagangan, pendidikan dan kebudayaan kedua-dua negara.

Kredit Foto: Facebook - Anwar Ibrahim
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi