Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan bahawa keazaman untuk bersama meningkatkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI), selain menyokong penuh kenyataan Ketua Setiausaha Negara (KSN), YBhg. Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar sebelum ini.
Menurut SPRM dalam suatu kenyataannya semalam, sebagai agensi utama dalam membanteras rasuah, SPRM akan terus memperhebat penyiasatan serta inisiatif pencegahan dan pendidikan yang lebih berkesan.
SPRM mengambil maklum pengumuman Transparency International Malaysia (TI-M) berhubung dengan keputusan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2024 yang menyaksikan negara mengekalkan skor 50 dan berada di kedudukan ke-57 secara global.
Selain itu, pihaknya berkata SPRM melalui Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN) yang berperanan sebagai urus setia kepada Pasukan Petugas Khas CPI dan diterajui oleh KSN akan terus meneliti dapatan survei bagi mengenal pasti aspek yang perlu diperbaiki.
“SPRM juga akan mempergiat kerjasama dengan semua pemegang taruh termasuk kementerian, sektor swasta, masyarakat sivil dan TI-M,” jelasnya.
Malah, pihaknya memaklumkan bahawa usaha mempertingkat CPI bukan hanya bergantung kepada penguatkuasaan tetapi memerlukan usaha yang bersepadu daripada semua pihak.
SPRM menyeru semua pihak agar meneruskan kerjasama serta memainkan peranan masing-masing untuk menambah baik strategi pencegahan dan memperkukuh tadbir urus demi mencapai sasaran kerajaan meletakkan Malaysia dalam kelompok 25 negara terbaik dunia menjelang tahun 2033.
Terdahulu, YBhg. Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar pada Selasa lalu, menyatakan bahawa Pasukan Petugas Khas CPI yang terdiri daripada penubuhan enam Kumpulan Fokus CPI akan meneliti dengan lebih mendalam dapatan daripada tinjauan yang digunakan dalam penilaian CPI.
Hasil kajian ini akan menjadi asas kepada perancangan dan pelaksanaan tindakan yang lebih berkesan dalam usaha memperbaiki kedudukan Malaysia di peringkat antarabangsa.