Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Encik Zulfa Hamzah, menyifatkan Jualan Gudang Mega 2025 (JGM2025) sebagai peristiwa penting dalam dunia penerbitan dan sastera tanah air. Acara ini merayakan sinergi berharga antara DBP, Pertubuhan Penulis Kuala Lumpur dan sembilan penerbit utama negara.
Menurut beliau, kolaborasi ini membuktikan bagaimana industri penerbitan, pengarang, dan penggiat seni sastera dapat bekerjasama bagi memajukan dunia bahasa, penulisan, dan budaya di Malaysia.
“Sejak penubuhannya, DBP telah memainkan peranan sebagai tonggak utama dalam memperkasakan bahasa Melayu serta meningkatkan taraf sastera dan penerbitan negara. Justeru, kerjasama dengan penerbit utama ini adalah langkah strategik untuk memperluas capaian karya sastera dan ilmiah, memastikan bahan bacaan berkualiti dapat diakses oleh masyarakat yang lebih luas,” ujar beliau dalam Majlis Perasmian JGM2025 di DBP Hulu Kelang semalam.

Beliau turut menekankan bahawa kerjasama antara DBP, Pertubuhan Penulis Kuala Lumpur, dan sembilan penerbit ini bukan sahaja memberi impak besar kepada pembangunan industri penerbitan, tetapi juga memperkukuh budaya membaca dalam kalangan rakyat Malaysia.
Melalui kolaborasi ini, beliau berkata, para penerbit dapat menghasilkan karya yang bukan sahaja mengangkat bahasa Melayu, tetapi juga menyumbang kepada pembentukan identiti bangsa dan negara.
“Penerbit-penerbit ini, dengan pengalaman dan kepakaran mereka, memainkan peranan yang amat penting dalam memastikan karya-karya sastera kita dapat diterbitkan dengan kualiti yang terbaik dan sampai ke tangan pembaca, sama ada di dalam mahupun di luar negara,” tambah beliau lagi.
YBrs. Encik Zulfa menegaskan bahawa JGM2025 tidak sekadar acara jualan buku biasa, tetapi juga menghimpunkan sepuluh penerbit dalam satu lokasi bagi memudahkan pelanggan mendapatkan buku berkualiti dalam pelbagai genre pada harga berpatutan. Selain itu, peminat buku berpeluang bertemu dan berdiskusi bersama-sama penulis.
Beliau turut mengingatkan bahawa seiring perkembangan teknologi digital, pemain industri perlu peka terhadap arus digitalisasi dan menggunakannya secara optimum agar industri perbukuan dapat memenuhi keperluan pencinta buku. Oleh itu, penghasilan kandungan secara mapan melalui pelbagai bentuk bahan bacaan harus terus digalakkan bagi memenuhi permintaan dan kepelbagaian pilihan pembaca.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Pengarah Eksekutif Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), YBrs Sakri Abdullah; Presiden Persatuan Penulis Kuala Lumpur, YBrs. Encik Ishak Hamzah; Ketua Pengarah Eksekutif PTS, YBrs. Encik Arief Hakim Sani Rahmat; Ketua Pengarah Eksekutif Perbadanan Kota Buku, YBrs. Puan Adibah Omar dan Pengarah jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP, YBhg. Puan Fauzilayatun Mustafa.
JGM2025 akan berlangsung dari 4 hingga 11 Februari di Kompleks DBP, Hulu Kelang. Selain itu, JGM2025 juga diadakan di empat lokasi lain khusus untuk jualan buku terbitan DBP sahaja, iaitu Anjung DBP di Menara DBP Kuala Lumpur, Kedai Buku DBP Cawangan Sabah, Kedai Buku DBP Cawangan Sarawak dan Kedai Buku DBP Wilayah Timur. DBP akan menawarkan pelbagai kategori buku termasuk judul am, kamus, majalah serta Buku Teks Pasaran Terbuka (BTPT) pada harga berpatutan.
Sebagai rekod, JGM2025 diperkenalkan untuk memperluas tawaran buku dengan bekerjasama dengan penerbit lain bagi menyediakan pelbagai kategori dan genre buku untuk pelanggan dari semua peringkat umur. Selain itu, program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dengan menyebarkan maklumat mengenai aktiviti dan program penerbitan serta pembukuan bersama penulis.

Jualan ini juga membantu penerbit mengurangkan kos operasi penyimpanan termasuk sewa gudang dan pengurusan inventori serta mengurangkan stok buku lapuk dengan mengoptimumkan penggunaan ruang inventori bagi mengelakkan pembaziran.
JGM2025 turut dijenamakan sebagai acara jualan buku ilmiah termurah dan terbesar di Malaysia serta menyokong Kempen Malaysia Membaca dengan menggalakkan tabiat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia.
Penganjuran JGM2025 bertujuan untuk memberikan peluang kepada masyarakat untuk membeli buku terbitan penerbit terkemuka pada harga berpatutan, selain menjadi platform untuk menyebarkan maklumat tentang aktiviti, program dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh DBP serta penerbit lain.
Inisiatif ini juga berperanan memupuk kesedaran tentang kepentingan buku sebagai sumber ilmu dan pengayaan minda dalam pembangunan modal insan, selain menggalakkan budaya membaca dalam kalangan rakyat dari pelbagai peringkat umur, khususnya golongan muda dan institusi keluarga.