Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 3 Februari 2025, 17:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – YBrs. Profesor Ir. Dr. Waluyo Adi Siswanto menamatkan perkhidmatannya sebagai Naib Canselor Universiti Muhammadiyah Malaysia (UMAM) secara rasmi pada Jumaat lalu setelah hampir dua tahun menjawat jawatan tersebut.

Penamatan tersebut susulan pertukaran tempat bertugas beliau di Universitas Muhammadiyah Surakarta, Jawa Tengah sebagai profesor dalam bidang “Studi Teknik Mesin” bagi pengajian peringkat Doktor Falsafah.

Perpisahan beliau diraikan oleh Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam sebuah majlis mengadap baginda di Galeri Diraja Arau.

Di samping itu, baginda turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada beliau sepanjang menjalankan tugas sebagai Naib Canselor UMAM.

YBrs. Profesor Ir. Dr. Waluyo Adi Siswanto ketika majlis mengadap DYTM Tuanku Raja Muda Perlis Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Pada masa yang sama, YBrs. Profesor Ir. Dr. Waluyo Adi Siswanto menyembah maklum kepada baginda berhubung dengan beberapa perkara tentang kejayaan yang dilakar oleh UMAM sepanjang tahun 2024.

Antara kejayaan tersebut termasuklah kemenangan UMAM merangkul Pingat Emas dan Pingat Perak dalam International Innovation and Invention Through Exhibition 2024 walaupun penubuhannya masih baru.

Selain itu, UMAM juga berjaya terpilih sebagai penganjur The 8th Mechanical Engineering, Science and Technology (MEST 2024) pada 10 dan 11 Disember 2024 lalu dengan tema Creating Limitless Opportunities, Shaping Future Together.

YBrs. Profesor Ir. Dr. Waluyo Adi Siswanto mula menjalankan tugas sebagai Naib Canselor universiti tersebut pada 27 Februari 2023 dan perkhidmatannya berakhir pada 31 Januari 2025.

UMAM merupakan kampus Universitas Muhammadiyah pertama di luar negara Indonesia yang beroperasi di Wisma MAIPs, Padang Besar hasil kerjasama strategik antara Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dengan kepimpinan pusat Muhammadiyah Indonesia.

Universiti berkenaan menawarkan lima program pengajian pada peringkat Doktor Falsafah pada ketika ini, iaitu Teknologi Maklumat, Pengajian Islam, Pendidikan, Pengurusan Perniagaan dan Sains Sosial.

Malah, institusi pendidikan tinggi tersebut telah berjaya mendapatkan lanjutan bagi kelulusan pengambilan pelajar antarabangsa pada 23 Disember 2024 hingga 6 Mac 2027.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi