Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Jemaah Menteri memutuskan untuk membatalkan projek rintis Waktu Bekerja Berlainan (WBB) kepada petugas kesihatan untuk memberikan laluan kepada sebuah kajian yang lebih mendalam dan menyeluruh.
Menurut kenyataan Menteri Kesihatan, Yang Berhormat (YB) Dr. Dzulkefly Ahmad, berikutan daripada keputusan tersebut, KKM bakal menubuhkan sebuah jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh mantan Ketua Pengarah Kesihatan, YBhg. Tan Sri Abu Bakar Suleiman.
Terma-terma rujukan jawatankuasa ini terkait pemerkasaan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat dan penjadualan waktu kerja.
“KKM akan meneruskan usaha untuk mewujudkan persekitaran kerja yang selamat dan adil untuk semua, terutamanya bagi petugas kesihatan” katanya.
Sebelum ini, pelaksanaan WBB yang dibincangkan dalam permukiman pengurusan tertinggi KKM ialah sebuah cadangan perubahan aturan penjadualan kerja yang dibina oleh petugas KKM.
Sistem WBB menjadi sistem ketiga yang berjalan seiring dengan sistem atas panggilan (on call) sedia ada dan sistem syif untuk mengurangkan keletihan, meningkatkan kualiti hidup dan kebajikan pegawai perubatan serta memperkasakan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada orang ramai.
Cadangan pelaksanaan WBB juga adalah untuk mengurangkan tempoh bekerja atas panggilan (on call) daripada maksimum 33 jam kepada 18 jam untuk setiap sesi kerja kakitangan terlibat; memastikan mana-mana pegawai perubatan tidak bertugas melebihi 24 jam secara berterusan dan mengurangkan jumlah waktu bertugas yang kini mencecah 99 jam seminggu kepada maksimum 72 jam seminggu.