Diterbitkan pada 20 Januari 2025, 20:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sik – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil perhatian tentang isu ketidakhadiran pelajar sekolah rendah dan menengah pada tahun 2025 yang melibatkan golongan B40 menerusi pelbagai kaedah dan inisiatif untuk mengelakkan isu tersebut berlaku.

Menteri Pendidikan, Yang Berhormat (YB) Puan Fadhlina Sidek dalam lawatan kerja rasmi beliau ke Sekolah Kebangsaan (SK) Danglau berkata,

Terdapat 18 bantuan kewangan untuk para pelajar B40 yang mesti disegerakan, selain bantuan awal sekolah yang diterima oleh semua ibu bapa.

Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) masing-masing boleh melakukan sesuatu bagi mengelakkan keciciran pelajar tersebut.

Pada masa yang sama, Guru Besar SK Danglau, YBrs. Tuan Haji Mohamad Redzuwan Abdul Manas berkata, lawatan kerja rasmi Menteri Pendidikan ke sekolah berkenaan merupakan suatu sejarah kerana bangunan sekolah kayu itu mula dibina pada tahun 1970 dan siap sepenuhnya pada tahun 1975 dengan menggunakan pembiayaan daripada Bank Dunia.

Bangunan kayu SK Danglau, Sik.

Menurut beliau, kehadiran menteri tersebut menjadi penyuntik semangat baharu kepada setiap kakitangan sekolah untuk terus melangkah maju.

“Nama sekolah ini diinspirasikan daripada nama pokok herba Dangla yang terkenal pada suatu masa dahulu kerana khasiatnya sebagai penawar demam dan pelbagai penyakit,” katanya.

Jelas beliau, nama “Danglau” dipateri hasil daripada silang budaya antara dua komuniti utama penduduk, iaitu kaum Melayu dan Siam”.

Ujarnya lagi, setiap murid mempunyai potensi yang besar untuk bersaing pada peringkat nasional mahupun global, asalkan mereka diberikan peluang dan bimbingan selaras dengan slogan sekolah, “Kemenjadian Murid, Realiti Kami”.

Selain itu, YB Puan Fadhlina Sidek mengumumkan kelulusan peruntukan sebanyak RM100,000 kepada sekolah tersebut.

Peruntukan berkenaan diluluskan untuk kegunaan sekolah yang menyimpan kenangan sejarah serta penuh dengan nilai dan pengajaran.

YB Fadhlina Sidek ketika meninjau sekitar bangunan kayu SK Danglau.

Ketibaan menteri pendidikan di sekolah itu disambut oleh Pengarah Pendidikan Negeri Kedah, YBrs. Encik Ismail Othman dan kakitangan SK Danglau.

Beliau turut melakukan lawatan pertama di PPD pertama pada tahun ini, iaitu PPD Sik dalam usaha melihat perkembangan dari sudut akademik dan pembangunan murid di daerah tersebut.

Kredit Foto: Abd Razak Osman
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi