Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Universiti Penguatkuasaan, Kepimpinan dan Pengurusan (ELMU) telah menganjurkan sesi panel bertajuk Meningkatkan Profesionalisme Melalui Latihan dan Pendidikan pagi tadi di Pusat Persidangan Antarabangsa Putrajaya (PICC) sempena Sidang Kemuncak dan Ekspo Keselamatan Antarabangsa Asia (AISSE’25).

Sesi yang dikendalikan oleh Naib Canselor ELMU, YBhg. Profesor Datuk Dr. Kassim Noor Mohamed sebagai moderator, menampilkan empat ahli panel berpengalaman dalam bidang pengurusan dan penguatkuasaan undang-undang.
Ahli panel terdiri daripada Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia, YBhg. Dato’ Sazali Mohamad; Penolong Pengarah (Akademik dan Latihan Asas) Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia, YBrs. Encik Mohd. Saud Ayutollah Abdul Manan; Pengarah Bahagian Pengurusan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, YBrs. Ts. Dr. Mohamad Fazli Sardi serta Felow Penyelidik Kanan Institut Tadbiran Awam Negara, YBrs. Puan Punitha Veni Muthusamy.
Perbincangan tersebut memberikan tumpuan kepada pentingnya latihan sistematik dan pendidikan berterusan dalam meningkatkan profesionalisme anggota penguatkuasaan undang-undang serta penjawat awam. Panelis turut berkongsi pengalaman dan cadangan dalam memperkukuh kerjasama antara agensi untuk mencapai tahap pengurusan yang lebih berkesan.
AISSE’25 yang berlangsung selama tiga hari ini menghimpunkan pelbagai agensi keselamatan, pakar industri dan institusi pendidikan untuk berkongsi pandangan serta inovasi terkini dalam menangani isu-isu keselamatan serantau dan global.
Dengan penyertaan sebanyak 300 syarikat dari 48 negara yang akan mempamerkan teknologi keselamatan terkini, AISSE’25 merupakan inisiatif strategik untuk memperkukuh kedudukan negara dalam aspek keselamatan melalui perkongsian idea, teknologi dan kerjasama.
Acara sulung anjuran bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu akan mengadakan sebanyak 36 bengkel yang akan dikendalikan oleh pakar dari pelbagai negara, manakala bengkel-bengkel yang akan membincangkan isu keselamatan global itu dijangka dihadiri oleh lebih 5000 pelawat perdagangan serta 1000 peserta seminar.
Acara bertemakan “Asia United: Charting the Future of Global Peace and Security through Law Enforcement Collaboration” itu jelas menggambarkan aspirasi negara untuk memupuk perpaduan, kerjasama dan pembangunan mampan dalam bidang keselamatan.
Aspek inovasi seperti kecerdasan buatan (AI) dan aplikasi pintar yang turut menjadi tumpuan dalam AISSE’25 dijangka memberikan impak positif kepada ekonomi Malaysia dengan menarik pelaburan dan mencetuskan peluang kerjasama antara kerajaan dengan sektor industri.
Acara itu juga merupakan sebahagian daripada usaha berterusan negara untuk memperkukuh kedudukannya dalam indeks keamanan global, seperti Global Peace Index 2024 yang kini menempatkan Malaysia pada kedudukan ke-10.