Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangLondon – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sedang merangka Pelan Pendidikan Nasional 2025 – 2035 dalam usaha mewujudkan sebuah ekosistem yang baharu dalam pendidikan tinggi negara.
Menteri Pengajian Tinggi, Yang Berhormat (YB) Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir ketika berucap dalam Program Bual Bicara Lewat Malam Bersama-sama Badan Perhubungan Negara United Kingdom (UK) dan Ireland Utara di Restoran Cempaka Kensington memaklumkan bahawa pelan tersebut akan memberikan tumpuan kepada pengantarabangsaan pendidikan Malaysia termasuklah usaha untuk meningkatkan bilangan pelajar antarabangsa di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan.
Menurut beliau, usaha ini bukan sahaja akan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pendidikan global, tetapi membolehkan IPT tempatan menjadi lebih menarik kepada pelajar dan tenaga akademik dari seluruh dunia.
“Buat masa ini, lebih 140 000 orang pelajar antarabangsa sedang melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang di IPT awam dan swasta seluruh negara,” kata beliau.
Selain itu, beliau turut menjelaskan bahawa pentingnya melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik tetapi juga sebagai “doktor sosial” yang mempunyai matlamat hidup yang jelas.
Tambah beliau lagi, graduan diharapkan dapat memberikan sumbangan kepada masyarakat dengan nilai kepimpinan dan tanggungjawab sosial yang tinggi.
Justeru, beliau berkata KPT turut melaksanakan pelan pemantapan kepimpinan untuk membina keupayaan pelajar dan pensyarah sebagai sebahagian daripada inisiatif reformasi pendidikan tinggi negara.
Jika sebelum ini libat urus KPT lebih tertumpu kepada pentadbir IPT, kini pendekatan baharu akan melibatkan pelajar secara langsung melalui program seperti International Young Future Leaders Summit 2024 (iFUTURE 2024).
Ujar beliau, pelaksanaan program berkenaan bakal memanfaatkan peranan Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) sebagai medium diskusi kepimpinan mahasiswa tempatan dan antarabangsa dalam melahirkan pemimpin masa hadapan.
“Pendekatan ini diyakini dapat memperkasakan peranan pelajar dalam usaha membentuk hala tuju pendidikan tinggi negara,” tegasnya.
Melalui langkah-langkah strategik ini, KPT optimis bahawa pendidikan tinggi Malaysia akan terus berkembang pesat dan mampu bersaing pada peringkat global selaras dengan aspirasi negara untuk menjadi pusat kecemerlangan pendidikan serantau dan antarabangsa.
Beliau mengulas lanjut bahawa KPT akan terus komited dalam usaha memperkukuh sistem pendidikan tinggi negara dengan pelbagai inisiatif baharu yang lebih dinamik dan berdaya saing.
Program Bual Bicara Lewat Malam bersama-sama Badan Perhubungan Negara UK dan Ireland Utara diadakan bersempena dengan lawatan kerja beliau ke UK.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Pengarah Education Malaysia London, YBrs. Profesor Madya Dr. Mohd Hanafi Ahmad Damanhuri; Atase Pendidikan, YBrs. Puan Alia Nabila Alias dan penuntut Malaysia di IPT UK.