Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 19 Januari 2025, 21:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Gaza – Perjanjian gencatan senjata di Semenanjung Gaza antara Israel dengan Hamas berkuat kuasa pada hari ini selepas lebih 15 bulan perang meletus yang mengorbankan 46 913 jiwa dan mencederakan 110 750 orang rakyat Palestin.

Walau bagaimanapun, waktu permulaan gencatan senjata tersebut yang sepatutnya bermula pada 8.30 pagi waktu tempatan tertangguh selama tiga jam, sehingga jam 11.15 pagi.

Memetik laporan agensi berita Aljazeera, kelewatan tersebut disebabkan oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mendakwa bahawa Hamas tidak memenuhi komitmennya dan belum menyerahkan senarai nama tawanan yang akan dibebaskan sebagai pertukaran dengan puluhan tahanan Palestin pada hari ini.

“Gencatan senjata tidak akan bermula sehingga Israel memiliki senarai tebusan yang akan dibebaskan, seperti yang telah dijanjikan oleh Hamas untuk diserahkan,” kata beliau.

Walau bagaimanapun, jurucakap Briged al-Qassam, Abu Obaida memaklumkan bahawa pihaknya memberikan jaminan untuk tetap komited dengan syarat perjanjian yang telah disepakati sebelum ini dan mengumumkan nama tiga orang tawanan wanita Israel, iaitu Romi Gonen, 24, Emily Damari, 28, dan Doron Shtanbar Khair, 31 untuk dibebaskan pada hari pertama perjanjian gencatan senjata.

Selain itu, jurucakap Kementerian Luar Negeri Qatar, Majed Al-Ansari, pihaknya mengesahkan bahawa nama tiga orang tebusan yang akan dibebaskan hari ini telah diserahkan kepada pihak Israel.

Mereka ialah tiga orang warga Israel, seorang daripadanya mempunyai kewarganegaraan Romania dan seorang lagi kewarganegaraan Britain. Oleh itu, gencatan senjata telah bermula.

Pada masa yang sama, pejabat Perdana Menteri Israel turut mengesahkan bahawa Israel menerima senarai nama tawanan yang akan dibebaskan hari ini sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata.

Sepanjang tempoh hampir tiga jam penangguhan perjanjian gencatan senjata tersebut, sekurang-kurangnya 19 orang maut dan 36 orang mengalami kecederaan akibat serangan terkini Israel di Gaza berikutan kelewatan tersebut.

Mereka yang terkorban melibatkan seorang individu di Rafah, enam orang di Khan Younis, sembilan orang di bandar Gaza dan tiga orang lagi terbunuh di utara Semenanjung Gaza.

Terdahulu, persepakatan gencatan senjata antara Israel dengan Hamas telah diumumkan oleh Perdana Menteri Qatar, Tuan Yang Terutama (TYT) Sheikh Mohammed Abdulrahman Al Thani pada Rabu lalu.

Perjanjian gencatan senjata tersebut akan dilaksanakan dalam tiga fasa. Fasa pertama dijangka berlangsung selama 6 minggu bermula hari ini dengan membebaskan 33 orang tawanan warga Israel sebagai pertukaran kepada pembebasan tahanan rakyat Palestin, pengunduran sebahagian pasukan tentera Israel dari Semenanjung Gaza dan kebenaran kemasukan bantuan kemanusiaan sebanyak 600 buah trak dalam masa satu hari.

Fasa kedua pula melibatkan pembebasan baki tawanan warga Israel sebagai pertukaran tahanan warga Palestin selebihnya serta pengunduran penuh tentera Israel dari wilayah Gaza, manakala fasa ketiga membabitkan pemulangan mayat tahanan warga Israel yang terbunuh, seterusnya pembangunan semula wilayah Gaza.

Kredit Foto: Khalil Ramzi - Reuters
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi