Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya –Permukiman pimpinan tertinggi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berlangsung pada hujung minggu ini di ibu negara bakal memfokuskan beberapa isu utama pengurusan kesihatan negara termasuklah cadangan Waktu Bekerja Berlainan (WBB) kepada petugas kesihatan.
Menurut kenyataan KKM pada Jumaat lalu, WBB ialah sebuah cadangan perubahan aturan penjadualan kerja yang dibina oleh petugas KKM sendiri berdasarkan libat urus yang dilaksanakan sejak 22 Januari 2024.
Katanya dalam kenyataan tersebut, sesi libat urus tersebut adalah bersama-sama dengan beberapa buah jabatan di prasarana kesihatan terpilih yang melibatkan pegawai perubatan dan pakar perubatan secara bersasar.
Sistem ini menjadi sistem ketiga yang berfungsi selaras dengan sistem dalam panggilan sedia ada dan sistem syif bagi pegawai perubatan dan pakar perubatan.
“WBB bertujuan untuk mengurangkan keletihan, meningkatkan kualiti hidup dan kebajikan pegawai perubatan, serta meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat,” ujarnya.
Pelaksanaannya menyasarkan untuk mengurangkan tempoh bekerja dalam panggilan aktif daripada maksimum 33 jam kepada 18 jam untuk setiap sesi kerja kakitangan yang terlibat; memastikan mana-mana pegawai perubatan tidak bertugas melebihi 24 jam secara berterusan dan mengurangkan jumlah waktu bertugas yang kini mencecah 99 jam seminggu (3 kali dalam panggilan seminggu) kepada maksimum 72 jam seminggu.
Di samping itu, antara isu utama lain yang turut dibincangkan dalam permukiman tersebut termasuklah sumber manusia, meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan dan ketidakseimbangan agihan petugas kesihatan.
Sebelum itu, satu sesi libat urus dianjurkan yang membabitkan lebih 1000 orang pegawai perubatan dan pakar perubatan secara fizikal dan dalam talian.
Dapatan daripada sesi libat urus tersebut akan dibincangkan pada permukiman pimpinan tertinggi KKM sebagai satu daripada inisiatif kementerian untuk meningkatkan keterlibatan pemegang taruh secara keseluruhan.
Tegas pihaknya, KKM komited untuk menambah baik persekitaran kerja yang menyokong kebajikan yang lebih baik untuk warganya serta akan terus memastikan perkhidmatan terbaik dapat disampaikan demi menjamin kesihatan dan kesejahteraan semua pihak.