Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 19 Januari 2025, 12:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Sesi Permukiman Menteri-menteri Luar ASEAN yang dipengerusikan oleh Menteri Luar Negeri, Yang Berhormat (YB) Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan berlangsung pada hari ini di Langkawi melibatkan penyertaan Menteri-menteri Luar dan pegawai-pegawai kanan dari negara anggota ASEAN.

Sesi permukiman tersebut merupakan mesyuarat pertama yang dijadualkan dalam kalendar tahunan ASEAN pada peringkat Kementerian Luar Negeri di bawah Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Wisma Putra semalam, Malaysia akan memperkenalkan cadangan bidang keutamaan dan keberhasilan yang menjadi fokus sepanjang tempoh kepengerusiannya selaras dengan tema Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, iaitu “keterangkuman dan kemampanan.”

“Malaysia akan mengetengahkan kepimpinan negara dalam usaha menyumbang ke arah pengukuhan komuniti ASEAN melalui cadangan bidang keutamaan dan keberhasilan yang telah dikenal pasti yang merentasi ketiga-tiga tonggak ASEAN, iaitu tonggak politik-keselamatan, ekonomi dan sosiobudaya,” katanya.

Mesyuarat ini juga membincangkan tindakan susulan kepada keputusan-keputusan yang telah dicapai oleh para pemimpin ASEAN semasa Sidang Kemuncak ASEAN Ke-44 dan Ke-45 dan Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan di Vientiane, Laos pada Oktober 2024.

Selain itu, Menteri-menteri Luar ASEAN akan bertukar pandangan mengenai perkembangan terkini isu serantau dan antarabangsa, termasuklah krisis di Myanmar, ketegangan geopolitik serta cabaran lain yang memberikan kesan kepada keamanan dan kestabilan serantau.

Jelasnya lagi, sesi permukiman ini membincangkan hala tuju strategik ASEAN, termasuklah usaha memperkukuh pembangunan komuniti dan hubungan luar ASEAN.

“Pendekatan ini bertujuan untuk memastikan ASEAN yang lebih bersepadu, inklusif dan mampan, sekali gus memperkukuh keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau,” ujarnya.

Di samping itu, YB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan turut mengambil peluang untuk mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawat bagi membincangkan isu pengukuhan ASEAN dan hubungan dua hala.

Turut serta dalam mesyuarat tersebut ialah Menteri Luar Negeri Timor-Leste, Tuan Yang Terutama (TYT) Bendito Freitas sebagai negara pemerhati ASEAN, Setiausaha Agung ASEAN, TYT Dr. Kao Kim Hourn dan wakil dari Myanmar.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi