Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSik–Lebih 1000 penduduk Kampung Pondok Ampang termasuk pelajar Sekolah Menengah Agama Irsyadiah di Jenari Sik, Kedah yang berdepan masalah gangguan bekalan air sekian lama kini boleh menarik nafas lega apabila projek telaga tiub siap dibina di kawasan berkenaan.
Projek telaga tiub telah dibiayai oleh Tabung Amanah Sultan Kedah (TASK) dengan memperuntukkan sejumlah RM46,500 yang akan memberi manfaat kepada 1000 orang pengguna.
Majlis Perasmian Telaga Tiub dan Program Santuni Rakyat 2025 telah berlangsung di Kampung Pondok Ampang semalam yang telah dilakukan oleh Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Amirul Karim Sultan Sallehuddin.
Projek telaga tiub mampu menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi oleh pelajar-pelajar Sekolah Menengah Agama Irsyadiah dan penduduk Kampung Pondok Ampang untuk memperoleh air bersih.

Selaku pengerusi TASK, baginda berharap projek yang menggunakan punca air bawah tanah seperti ini berupaya menceriakan penduduk sekitarnya.
“Pihak TASK begitu prihatin dan terus membuat pam air seperti ini supaya penduduk gembira pada tahun 2025,” titah baginda.
Baginda bertitah, setakat ini beberapa kawasan terpencil terutama di Sik Kedah, khususnya mukim Jeneri, menghadapi masalah bekalan air yang tidak konsisten kerana infrastruktur air sedia ada tidak mencukupi untuk keperluan penduduk sekitar.
Sempena majlis itu yang mendapat kerjasama Kesatuan Penghulu Negeri Kedah itu turut menghulurkan sumbangan berupa bakul makanan dan wang tunai kepada para penerima terpilih dalam usaha meringankan sedikit beban dalam perbelanjaan harian pada awal tahun baharu ini.
Turut hadir di majlis itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, YBrs. Dato’ Seri Norizan Khazali; Pegawai Daerah Sik, YBrs. Tuan Faizal Rizal Mohammad; Ahli Lembaga TASK, YBrs. a/Jeyabalan; Pengurus Besar TASK, YBrs. Encik Azhan Abd Hamid; Pengerusi Kesatuan Penghulu/Pengawa Semenanjung Malaysia Cawangan Kedah, YBrs. Encik Jamani Jamaludin dan Pengetua Sekolah Menengah Agama Irsyadiah Jeneri, YBrs. Tirmizi Zakaria.