Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 15 Januari 2025, 09:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menetapkan sebanyak lima fokus utama pada tahun ini, iaitu isu keciciran pelajar, kepimpinan pendidikan madani, penguasaan guru terhadap pentaksiran, reformasi sekolah serta numerasi dan literasi.

Menteri Pendidikan, Yang Berhormat (YB) Puan Fadhlina Sidek ketika berucap dalam Majlis Amanat Tahun Baharu YB Menteri Pendidikan 2025 di Auditorium Kompleks E semalam menegaskan bahawa lima fokus tersebut dianggap sebagai non-negotiable (tidak boleh dirunding) dan perlu dilaksanakan pada tahun ini.

“Saya, YB Timbalan Menteri, Ketua Setiausaha KPM dan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia ketika ini sedang mempersiapkan seluruh pasukan untuk berhadapan dengan sidang Parlimen pada Februari kelak dan membentangkan Dasar Pendidikan Wajib,” kata beliau.

Ujar beliau, isu keciciran pelajar merupakan perkara yang tidak boleh dirunding lagi dan program untuk mengatasi isu ini bukan bermula pada tingkatan lima tetapi lebih awal daripada itu, iaitu sekurang-kurangnya seawal tingkatan empat.

Penggunaan kecerdasan buatan dan teknologi moden mesti dimanfaatkan untuk mengesan keciciran pelajar dan membantu mereka meningkatkan motivasi untuk terus hadir ke sekolah.

Selain itu, beliau menjelaskan bahawa terdapat empat teras penting dalam kompetensi kepimpinan dan kepimpinan pendidikan madani, iaitu seseorang pemimpin perlu mempunyai kemampuan untuk memimpin, menyokong, mengangkat serta menonjolkan bakat dan pelapis baharu.

“Saya melihat antara kejayaan sekolah adalah apabila kepimpinan sekolah dan para pentadbirnya memberikan sokongan penuh kepada guru-guru dan inilah yang saya maksudkan sebagai kepimpinan pendidikan madani,” jelas beliau.

Menurut beliau, guru yang kompeten bukan sahaja memahami sesuatu mata pelajaran dengan mendalam, malah turut menguasai pelbagai pendekatan pedagogi seperti pembelajaran berpusatkan pelajar, penggunaan teknologi pendidikan dan kaedah penilaian autentik.

Disamping itu, beliau turut menegaskan bahawa Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) hendaklah memastikan semua kursus pembangunan profesionalisme yang berkaitan rapat dengan peningkatan dan penguasaan guru kepada Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).

Beliau mengulas lanjut bahawa fokus utama pelan reformasi sekolah dapat ditingkatkan menerusi tumpuan PPD dan JPN kepada tiga jenis sekolah, iaitu sekolah fokus, sekolah aspirasi dan sekolah inspirasi.

Tumpuan saya pada tahun ini ialah saya akan melawat PPD yang berkaitan untuk melihat semua data yang berkaitan dengan sekolah fokus, sekolah aspirasi dan sekolah inspirasi berdasarkan dua aspek penting, iaitu sokongan dan akauntibiliti.

“Kita perlu memastikan program numerasi dan literasi menjadi tumpuan khususnya di sekolah fokus yang masih berada pada tahap yang rendah dalam konteks anak-anak yang masih tidak boleh membaca, menulis dan mengira,” tegas beliau.

“PPD dan JPN perlu memastikan keupayaan dan sokongan kepada guru dipertingkat melalui School Improvement Specialist Coaches Plus (SISC+) ke semua sekolah fokus untuk memberikan sokongan penuh kepada para guru,” tambah beliau lagi.

Malah, beliau memaklumkan bahawa KPM juga mesti melaksanakan program saringan, intervensi dan Program Anak Kita, di samping mendukung guru-guru khususnya dalam usaha menggiatkan pelaksanaannya.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Pendidikan, YB Tuan Wong Kah Woh; Ketua Setiausaha KPM, YBhg. Datuk Haji Ruji Haji Ubi; Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, YBrs. Tuan Haji Azman Adnan dan pegawai-pegawai kanan KPM.

Kredit Foto: Facebook KPM
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi