Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangAlor Setar – Pejabat Satelit Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) Alor Setar di Pusat Transformasi Bandar (UTC), Bangunan Kompleks Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) Jalan Kolam Air kini mula beroperasi dalam usaha memberikan perkhidmatan yang lebih luas kepada masyarakat awam.
Perasmian pembukaan pejabat tersebut telah disempurnakan oleh Pengerusi MyIPO, YBrs. Ts. Dr. Mohd Zuhan Mohd Zain pada Khamis lalu.
Beliau berkata, banyak pihak di wilayah utara termasuk usahawan, pengkarya dan individu di negeri Kedah akan mendapat manfaat dengan adanya pusat perkhidmatan yang disediakan tersebut bagi memajukan industri kreatif dan inovatif negara bersama-sama melalui perlindungan harta intelek.
“Golongan pengkarya dan individu kreatif tempatan yang mempunyai inovasi serta hasil karya bernilai akan dilindungi di bawah undang-undang harta intelek”, kata beliau.
“Pembukaan pejabat, termasuk di Alor Setar ini menandakan komitmen yang berterusan daripada MyIPO untuk memberikan kemudahan akses kepada masyarakat di seluruh negara,” jelas beliau lagi.
Dalam tempoh lima tahun terakhir, MyIPO menerima sebanyak 2975 permohonan harta intelek dari negeri Kedah dan data tersebut menunjukkan peningkatan kesedaran masyarakat dan usahawan tempatan dalam menjaga kepentingan harta intelek.

Turut hadir dalam majlis perasmian pembukaan pejabat tersebut ialah Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) MyIPO, YBrs. Tuan Sheikh Ariffin Sheikh Mohd Noor; Pengurus Pusat UTC Alor Setar; YBrs. Encik Zamzama Mohd dan Pengarah MyIPO Wilayah Utara, YBrs. Encik Muhd Syafiq Ramli.
Sebelum ini, MyIPO membuka pejabat satelitnya di Kuala Terengganu pada November 2024 manakala di Ipoh pada Disember tahun lalu.
