Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia memaklumkan bahawa pihaknya akan mengambil tindakan sita dan lucut hak bagi kenderaan yang gagal mematuhi peraturan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) dan Kaedah-kaedah di bawahnya.
Berdasarkan kenyataan pihaknya semalam, tindakan penguatkuasaan tersebut bakal dilaksanakan menerusi Operasi Khas “Gempur Teknikal” di seluruh negara.
Selain itu, JPJ akan menumpukan penguatkuasaan terhadap kenderaan perdagangan dalam beberapa kesalahan seperti kesalahan lebih muatan, kesalahan teknikal, kesalahan dokumentasi, kesalahan lalu lintas serta kesalahan teknikal pembuatan dan penggunaan kenderaan.
Menerusi tindakan penguatkuasaan tersebut, pemilik syarikat atau kenderaan akan diambil tindakan di bawah Seksyen 57 Akta 715 atas kesalahan disyaki melanggar lesen pengendali, iaitu gagal memberikan keutamaan ke atas pengguna jalan raya yang lain.
“Sekiranya disabitkan kesalahan boleh didenda di bawah seksyen yang sama, iaitu denda tidak kurang RM1,000 dan tidak melebihi RM500,000,” jelas beliau dalam kenyataan tersebut.
Di samping itu, beliau turut menegaskan bahawa tindakan atas kesalahan tersebut juga menyebabkan kenderaan yang terlibat boleh disita di bawah Seksyen 80 Akta 715 dan dilucutkan hak sekiranya sabit kesalahan.
Pada masa yang sama, pihak JPJ tidak berkompromi terhadap pemandu atau pemilik kenderaan perdagangan yang gagal mematuhi peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Kaedah-kaedah di bawahnya, Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334) serta Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).
Tambah beliau lagi, pelaksanaan tindakan penguatkuasaan tersebut merupakan susulan daripada beberapa siri kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya yang melibatkan kenderaan perdagangan.
“Tindakan penguatkuasaan yang lebih tinggi terus dipertingkatkan dan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan tahap pematuhan peraturan keselamatan jalan raya di seluruh negara,” kata beliau.