Diterbitkan pada 15 Disember 2024, 23:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sungai Petani – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) telah menyalurkan kira-kira RM842,000 kepada lebih 18,000 penerimanya apabila menganjurkan lapan program Projek Pembangunan Komuniti YAPEIM (PPKY) di seluruh negara.

Projek yang diperkenalkan sejak tiga tahun lalu itu berjaya menyantuni masyarakat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Kelantan, Pahang, Melaka, Sabah, Perak dan Sarawak, khususnya dalam bidang ekonomi, pendidikan dan pembangunan sosial.
Walau bagaimanapun, projek ke sembilan YAPEIM telah berjaya menyalurkan sumbangan sebanyak RM150,000 kepada PPKY Peringkat Negeri Kedah yang berlangsung di Masjid Sultan Abdul Halim, Taman Ria Jaya, Sungai Petani, Kedah semalam yang dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Pendidikan, (Perancangan dan Pengurusan) Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, Encik Mahadhir Ismail.
Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah memberikan sumbangan berupa wang tunai sebanyak RM200 kepada 60 buah keluarga daripada kumpulan B40, pesakit kronik dan anak yatim di kawasan sekitar Sungai Petani yang  keseluruhannya berjumlah RM12,000.
Ketua Divisyen Pengagihan YAPEIM, Puan Sharina Ramli berkata, sumbangan lain yang diberikan ialah set makanan bernilai RM100 kepada 200 buah keluarga yang keseluruhannya berjumlah RM20,000.

Tambah Puan Sharina Ramli:

Sumbangan bantuan kewangan pendidikan sebanyak RM50 diberikan kepada 150 orang pelajar yang keseluruhannya berjumlah RM7,500. Sumbangan bagi pelaksanaan program motivasi Celik Kendiri kepada 350 orang pelajar pula diperuntukkan sebanyak RM2,000. Manakala sumbangan keraian dan penganjuran program yang dapat memanfaatkan 800 orang awam pula diperuntukkan sebanyak RM18,500.

“Dalam masa yang sama, YAPEIM turut memperuntukan sumbangan usaha sama strategik kepada Pejabat Pembangunan Negeri Kedah – Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) berjumlah RM90,000 bagi mengenal pasti tiga calon penerima yang layak dipertimbangkan untuk menerima bantuan baik pulih premis perniagaan Program Sinar Lestari YAPEIM,” katanya.
YAPEIM juga berharap agar bantuan yang diberikan melalui program tersebut dapat memberikan manfaat dan nilai tambah kepada kehidupan setiap penerimanya.
Bersempena dengan program ini juga turut diadakan pertandingan mewarna, memasak dan gubahan yang melibatkan penyertaan daripada penduduk kawasan sekitar. Pemenang bagi pertandingan mewarna diberikan kepada adik Nurain Aleeya Khairul Ridzuan dari Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Ria,  pertandingan memasak pula dimenangi oleh Puan Hotamah Amin dan pertandingan gubahan dimenangi oleh Puan Naimah Nordin.
YBhg. Datuk Mohd Radzif Mohd Yunus menyerahkan replika cek Bantuan Musibah Bencana kepada Yusuf Abdullah (dua kanan).

Hadir sama dalam program ini ialah Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM; Datuk Mohd Radzif Mohd Yunus, Ketua Penolong Pengarah Seksyen Kesejahteraan Rakyat; Khairul Hisyam Husni, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Muda; Ahmadi Abdullah dan Pengerusi Masjid Sultan Abdul Halim Taman Ria Jaya; Yusuf Abdullah.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi