Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Luar Negeri menerusi suatu kenyataannya pada hari ini memaklumkan bahawa Perdana Menteri Thailand, Puan Yang Terutama (PYT) Paetongtarn Shinawatra bakal mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia pada hari esok atas jemputan Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Menurut kenyataan tersebut, PYT Paetongtarn Shinawatra akan diraikan dalam sebuah majlis sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya dan disusuli dengan pertemuan dua hala bersama-sama dengan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
“Kedua-dua pemimpin tersebut akan mempengerusikan Rundingan Tahunan Malaysia-Thailand Ke-7 untuk menilai kemajuan hubungan dua hala serta meneroka potensi kerjasama baharu antara kedua-dua buah negara,” katanya.
Selain itu, rundingan pada kali ini dijangka memperlihatkan pemimpin tertinggi bagi kedua-dua buah negara berkenaan bertukar-tukar pandangan terhadap isu serantau dan antarabangsa demi kepentingan bersama-sama.
Dalam masa yang sama, rundingan tahunan tersebut turut menyaksikan pertukaran dua jenis memorandum persefahaman (MoU) berkaitan dengan kerjasama kebudayaan, seni dan warisan; serta pembangunan industri getah dan kerjasama ekonomi.
Pada tahun lalu, Thailand merupakan rakan dagang keenam terbesar Malaysia pada peringkat global dan kedua terbesar dalam kalangan negara anggota Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) dengan jumlah dagangan sebanyak RM113.16 bilion (USD24.83 bilion).
Kini, jumlah dagangan dua hala antara Malaysia dengan Thailand telah mencecah RM95.50 bilion (USD20.75 bilion) bagi tempoh bermula Januari hingga Oktober 2024, berbanding dengan RM94.37 bilion (USD20.69 bilion) dalam tempoh yang sama pada tahun lepas.
“Lawatan rasmi tersebut merupakan lawatan sulung PYT Paetongtarn Shinawatra ke Malaysia sejak memegang tampuk pemerintahan Thailand pada Ogos 2024,” ujarnya lagi.
Lawatan ini juga sebahagian daripada siri pertukaran lawatan pada peringkat kepimpinan tertinggi negara pada tahun ini selepas Lawatan Kerja Perdana Menteri Malaysia dan Thailand ke Sungai Golok, Thailand dan Rantau Panjang, Malaysia, pada 3 Ogos 2024 yang lalu.
Di samping itu, lawatan tersebut mencerminkan jalinan persahabatan yang erat dan mesra antara kedua-dua buah negara selaku jiran tetangga dan negara anggota ASEAN.
Sebelum ini, Menteri Luar Negeri Malaysia dan Thailand telah mempengerusikan Mesyuarat Ke-15 Suruhanjaya Bersama bagi Kerjasama Dua Hala dan Mesyuarat Ke-6 Strategi Pembangunan Bersama bagi Kawasan Sempadan antara Malaysia dan Thailand di Kuala Lumpur pada 6 Ogos 2024.