Diterbitkan pada 26 November 2024, 17:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Seoul – Malaysia dan Republik Korea komited untuk terus bekerjasama dalam pelbagai bidang yang berkepentingan, sambil bersama-sama mendepani cabaran yang memberi kesan kepada rantau dan dunia.

Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, memulakan lawatan rasmi ke Republik Korea dengan kunjungan ke Pejabat Presiden di Yongsan pagi semalam. Ketibaan beliau disambut oleh Presiden Republik Korea, Yang Mulia Yoon Suk Yeol, sebelum pertemuan bilateral berlangsung.

Malaysia dan Republik Korea komited untuk terus bekerjasama dalam pelbagai bidang – Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim

Lawatan ini bertujuan untuk memperkukuhkan hubungan dua hala, dengan fokus utama pada kerjasama politik, keselamatan, ekonomi, budaya, pendidikan serta serantau dan global

Dalam kenyataan yang dikeluarkan melalui akaun media sosial rasminya, Perdana Menteri menyatakan komitmen kedua-dua negara untuk mempererat kerjasama di empat bidang utama, iaitu kerjasama politik dan keselamatan; kerjasama ekonomi (yang merangkumi aspek pelaburan dan perdagangan, menyemarak Dasar Pandang Ke Timur 2.0, kerjasama digital dan teknologi maklumat, kerjasama infrastruktur, kesihatan dan sains perubatan, alam sekitar dan tenaga serta pertanian); kerjasama budaya, pendidikan dan pelancongan serta kerjasama serantau dan di peringkat global.

Menurut kenyataan Wisma Putra, kedua-dua negara bersetuju memperkukuh kolaborasi dalam perdagangan dan pelaburan melalui Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA).

Kerjasama baharu dalam ekonomi digital, ekonomi hijau dan bioekonomi turut dirancang bagi memastikan hasil yang saling menguntungkan, termasuk bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat pemula (start-ups). Kedua-dua pihak juga menekankan kepentingan keselamatan ekonomi melalui ketahanan rantaian bekalan, inovasi dan daya saing.

Dalam sektor kesihatan, Malaysia dan Republik Korea komited untuk memperluas kerjasama melibatkan pertukaran kakitangan kesihatan, farmaseutikal, vaksin, peralatan perubatan, dan sistem maklumat kesihatan. 

Mengiktiraf cabaran perubahan iklim, kedua-dua negara bersepakat memperkukuh konsultasi dan inisiatif seperti penangkapan karbon, adaptasi iklim serta teknologi mesra alam.

Dalam bidang pendidikan pula, kolaborasi dalam bidang Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) turut menjadi fokus, melibatkan pelbagai pihak seperti institusi pendidikan dan korporat. Sehingga kini, lebih 5000 orang pelajar Malaysia telah menimba ilmu di Republik Korea sejak empat dekad lalu. Selain itu, Pusat Pendidikan Korea di Kuala Lumpur terus menjadi platform utama untuk pertukaran bahasa dan budaya. 

Kedua-dua negara turut menyuarakan kebimbangan terhadap krisis kemanusiaan di Gaza dan peningkatan keganasan di Lubnan dengan menyeru gencatan senjata segera, pelepasan tahanan dan akses kemanusiaan tanpa halangan, sambil menekankan keperluan penyelesaian diplomatik.

Kredit Foto: Media Perdana Menteri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi