Diterbitkan pada 26 November 2024, 17:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Festival Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) yang akan membuka tirainya esok dan berlangsung selama tiga hari di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), dijangka menjadi platform utama untuk perbincangan isu-isu semasa melibatkan lebih 80 pemimpin, pakar, ahli akademik dan tokoh industri. Penganjuran festival ini bakal memberikan ruang kepada Sidang Idea Malaysia (MyIDEAS) yang merangkumi pelbagai forum dan sidang selari dengan menyentuh topik-topik penting dalam masyarakat.

Festival ini akan menyajikan lima forum utama yang akan membincangkan pelbagai aspek termasuk pengenalan idea-idea baru, kisah kejayaan pelaksanaan idea serta isu-isu berkaitan dengan reformasi dalam perkhidmatan awam. 

Selain itu, 10 sidang selari juga bakal berlangsung dengan meliputi topik-topik yang berkaitan ekonomi, pendidikan, diplomasi antarabangsa, kesihatan, kecerdasan buatan (AI), latihan pendidikan teknikal dan vokasional (TVET), transformasi pendigitalan, keterjaminan makanan, kelestarian alam dan sidang perihal falsafah MADANI.

Antara acara yang dinantikan termasuklah sesi Putrajaya FOI Talk yang bakal menampilkan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, bersama-sama dua panel lain dalam perbincangan bertajuk “Idea Anak Muda Malaysia”. Perdana Menteri juga dijadualkan merasmikan program ini pada hari kedua festival ini.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah turut berkenan menyampaikan Titah Diraja di Putrajaya FOI pada hari terakhir program.

Antara tetamu kehormat, ahli panel dan moderator yang dijadualkan hadir ialah Menteri Komunikasi,YB Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil; Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh; Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes; Naib Presiden Rangkaian Strategik Global, Elsevier Japan; Pengerusi Ikhlas Capital, Tan Sri Nazir Tun Razak; Pengasas Kumpulan Aerodyne, Dato’ Kamarul A Muhamed; Pengasas Bersama CARSOME Sdn. Bhd, Jiun Ee Teoh; Ketua Pegawai Eksekutif Infinecs System Sdn. Bhd., Kalai Selvan; Pengasas Aphelia Space, Razlan Dhamir serta Genius Muda, Universiti Malaya, Izz Imill Shahrom.

Penganjuran festival ini adalah sebahagian daripada usaha Kementerian Pendidikan Tinggi untuk memperkukuh imej Malaysia sebagai pusat kecemerlangan intelektual dan inovasi. Program ini juga bertujuan untuk mengembalikan kegemilangan budaya ilmu dan melahirkan masyarakat yang menghargai dan berinovasi dalam bidang pendidikan.

Dengan tema yang berfokus kepada idea dan inovasi, Putrajaya FOI tahun diharap dapat mencetuskan perubahan positif dan memberi sumbangan bermakna dalam usaha mencapai kemajuan negara, terutamanya dalam bidang pendidikan dan perkhidmatan awam.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi