Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan bahawa jadual peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dilaksanakan pada 2 Disember 2024 – 6 Februari 2025.
KPM memaklumkan bahawa Ujian Bertutur Bahasa Melayu dijadualkan pada 2 Disember 2024 hingga 5 Disember 2024, diikuti Ujian Amali Sains pada 9 Disember 2024 -12 Disember 2024, Ujian Bertutur Bahasa Inggeris pada 16 Disember- 19 Disember 2024, manakala kedua-dua Ujian Mendengar Bahasa Melayu dan Inggeris pada 31 Disember dan Peperiksaan Bertulis dilaksanakan 2 Januari hingga 6 Februari 2025.
Dalam kenyataan rasmi, KPM memaklumkan bahawa sebanyak 402,956 orang calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM Tahun 2024 di 3337 buah pusat peperiksaan seluruh negara manakala sebanyak 126,636 orang petugas peperiksaan telah dilantik bagi mengendalikan dan memastikan kelancaran peperiksaan.
Dalam kenyataan media, KPM juga meminta calon menyemak jadual waktu peperiksaan SPM 2024 atau dimuat turun menerusi laman sesawang Lembaga Peperiksaan di pautan http://lp.moe.gov.my/.
KPM turut menegaskan bahawa setiap calon SPM mestilah membawa dokumen pengenalan diri dan pernyataan pendaftaran slip peperiksaan ke pusat peperiksaan serta mematuhis segala prosedur operasi standard dan peraturan yang telah ditetapkan.
Selain itu, berhubung dengan hal keselamatan dan kebajikan calon serta petugas peperiksaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan bencana banjir, KPM sentiasa siap siaga dengan mekanisme dan langkah persediaan yang sewajarnya termasuk menjalinkan kerjasama antara agensi kerajaan yang lain.
KPM turut menyentuh isu calon yang tidak dapat hadir menduduki peperiksaan perlu segera memaklumkan kepada pihak sekolah atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN)sekiranya berdepan dengan kesulitan seperti bencana alam. Calon juga boleh menghubungi talian bilik gerakan peperiksaan yang disediakan di ibu pejabat Lembaga Peperiksaan dan JPN di seluruh negara.