Diterbitkan pada 24 November 2024, 12:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Subang Jaya – Timbalan Menteri Komunikasi, YB Teo Nie Ching, menyeru para pencipta kandungan muda untuk menghasilkan karya yang bermakna dan mampu meninggalkan kesan jangka panjang kepada masyarakat.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan Festival Video Kanak-kanak Asia Tenggara (SEAVFC) Keempat di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid (SPCC) malam tadi.

Timbalan Menteri Komunikasi, YB Teo Nie Ching, mengajak para pencipta kandungan muda untuk menghasilkan karya yang memberi impak dan bermakna.

 

 

“Dalam dunia hari ini, penciptaan kandungan menjadi lebih mudah dengan kehadiran platform seperti TikTok dan YouTube, serta alat penyuntingan seperti CapCut dan Adobe Premiere Pro”

“Namun begitu, bukan semua kandungan mempunyai nilai-nilai murni yang mampu memberikan teladan kepada penonton,” Katanya.

Beliau menekankan kepentingan mencipta kandungan dengan tujuan yang jelas, yakni memikirkan tentang kesan cerita, sama ada mengangkat nilai murni, mengajar sesuatu yang berharga atau mengajak kepada kebaikan.

Selian itu, beliau turut mengingatkan bahawa kandungan yang dihasilkan tidak hanya dinilai berdasarkan jumlah tontonan atau tanda suka, tetapi melalui kesan berpanjangan yang ditinggalkannya, terutama kepada kanak-kanak.

“Kepada semua pencipta kandungan muda yang ada pada malam ini, anda adalah masa depan penciptaan kandungan di Asia Tenggara yang akan menceritakan kisah budaya kita.”

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua peserta program yang berjaya menamatkan latihan mereka, serta menzahirkan penghargaan kepada Jawatankuasa Penganjur, Creative Content Association Malaysia (CCAM), Anak TV dari Filipina dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Majlis tersebut turut dihadiri oleh mantan Duta Republik Filipina Yang Mulia Minda C. Cruz; Pengerusi FINAS, YBhg. Dato’ Kamil Othman; Presiden Anak TV, YBrs. Puan Elvira Yap Go; dan Pengarah SEAVFC Keempat, YBhg. Dato’ Mahyidin Mustakim.

Pengarah urusan Les’ Copaque Production Sdn. Bhd. Haji Burhanuddin Md Radzi, yang juga merupakan penerbit animasi Upin dan Ipin: Our Friend Susanti, yang baru-baru ini dinobatkan sebagai pemenang dalam kategori Profesional (Fiksyen) 8-12 Tahun di Festival Video Kanak-kanak Asia Tenggara (SEAVFC).

Malaysia mencatat pencapaian membanggakan di SEAVFC kali ini apabila animasi Upin dan Ipin: Our Friend Susanti dinobatkan sebagai pemenang kategori Profesional (Fiksyen) 8-12 Tahun.

Lebih membanggakan, karya yang sama turut menerima Anugerah Heart (Kategori Profesional), pengiktirafan khas yang diberikan kepada video yang menyentuh hati penonton.

Pencapaian ini sekali lagi membuktikan keunggulan Malaysia dalam industri kreatif serantau, terutamanya dalam menghasilkan kandungan berkualiti yang memupuk nilai budaya dan persahabatan.

Selain kejayaan Malaysia, beberapa negara lain turut menyerlah di SEAVFC. Singapura memenangi kategori Profesional (Fiksyen) Tujuh Tahun dan Kebawah menerusi karya Fox Tales, Bear With Me, manakala Indonesia dinobatkan sebagai pemenang Profesional (Fiksyen) 13-17 Tahun dengan video Tayan Tutu Anakku Satu.

Thailand pula cemerlang dalam beberapa kategori, termasuk Fun Nam Nom Club: Little Watcher untuk kategori Profesional (Bukan Fiksyen) Tujuh Tahun dan Kebawah dan Poupai The Mahout Girl bagi kategori Profesional (Fiksyen) 8-12 Tahun.

Filipina mendominasi kategori Pembikin Video Beraspirasi dan Pembikin Video Kanak-Kanak dengan karya seperti Bata, Bata Ka Lang dan Kisapmata.

Sementara itu, Vietnam memenangi kategori Pembikin Video Kanak-Kanak 12 Tahun dan Kebawah melalui video A Silent Connection dan Anugerah khas Pilihan Kanak-Kanak diberikan kepada Mag-Igsukul (True Friendship) dari Filipina, manakala Anugerah Heart (Kategori Kanak-kanak) turut dimenangi oleh Filipina menerusi karya Kisapmata.

Malaysia tugas kepengerusian kepada Thailand sebagai tuan rumah SEAVFC tahun hadapan.

Sebagai rekod, festival yang bermula pada tahun 2017 ini bertujuan meraikan bakat muda sambil mendorong mereka menghasilkan kandungan yang mencerminkan nilai, warisan, dan identiti masyarakat Asia Tenggara.

Selain itu, festival ini juga berfungsi sebagai platform untuk kanak-kanak mempamerkan kemahiran dalam penciptaan kandungan, berkongsi perspektif serta melibatkan diri dalam pertukaran budaya.

Majlis penutupan disempurnakan dengan penyerahan tugas pengerusi kepada Thailand sebagai tuan rumah bagi edisi kelima festival ini.

Kredit Foto: Arina Musthafa
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi