Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Pengarah Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), YBrs. Timbalan Pesuruhjaya Mohd Muzammer Jamaluddin, memimpin tinjauan pematuhan lesen premis perniagaan di sebuah pusat beli-belah popular malam semalam.
Operasi yang berlangsung dari pukul 8.30 hingga 10.30 malam itu melibatkan 25 anggota DBKL bertujuan memastikan iklan dan papan tanda di kawasan tersebut mematuhi garis panduan Jabatan Pelesenan.
Menurut YBrs. Mohd Muzammer, fokus utama tinjauan adalah mengumpul data dan memberikan maklumat kepada pengurusan pusat beli-belah untuk tindakan lanjut.
“Hari ini kita meninjau dari segi pematuhan lesen, termasuk memastikan iklan dan papan tanda mengikut garis panduan yang ditetapkan,” ujarnya.
Operasi ini dilaksanakan serentak dengan tinjauan di pusat beli-belah lain di bawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) DBKL dan lokasi yang ditinjau merupakan antara pusat beli-belah baharu yang hampir semua ruang premisnya telah diisi.
Beliau juga menegaskan bahawa data yang dikumpul dalam tinjauan ini akan diserahkan kepada pihak pengurusan pusat beli-belah untuk tindakan susulan.
“Kami komited memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap garis panduan, sejajar dengan peraturan sedia ada,” tambah beliau.
Berikutan isu yang tular mengenai papan iklan asing di pusat beli-belah terkemuka, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) turut menegaskan pentingnya penguatkuasaan penggunaan bahasa kebangsaan pada paparan iklan.
DBP dalam satu kenyataan menyatakan bahawa pihaknya akan bekerjasama rapat dengan Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) melalui arahan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
DBP mengingatkan bahawa penggunaan bahasa kebangsaan dalam iklan mesti betul dari segi ejaan, istilah, dan tatabahasa.
“Iklan tidak boleh mengandungi konotasi buruk dan perlu sopan, nama kedai, jenama keutamaan serta keterangan perniagaan mesti memenuhi keperluan bahasa yang ditetapkan,” jelas kenyataan itu.
Selain itu, DBP turut menyatakan bahawa penggunaan bahasa lain selain bahasa kebangsaan hanya dibenarkan sekiranya berdaftar dengan SSM, MyIPO, atau pihak berkaitan.
Bahasa kebangsaan perlu diberikan keutamaan dari segi saiz huruf, warna dan kedudukan, dengan saiz huruf lebih besar serta diletakkan di bahagian atas.
Langkah penguatkuasaan ini bertujuan memartabatkan bahasa kebangsaan di ruang awam dan memastikan iklan tidak bercanggah dengan nilai budaya tempatan.