Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBukit Ketri – Kereta api mewah ‘Essential Malaysia Journey’, iaitu Eastern & Oriental (E&O) Express akan singgah di Perlis seminggu sekali sepanjang November 2024 hingga Februari 2025.
Perkhidmatan ini bertujuan untuk mempromosi Perlis sebagai sebuah destinasi pelancongan yang menawarkan keindahan alam semula jadi dan budaya yang menarik.
Malah usaha ini juga selaras dengan Kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025 yang sedang rancak berjalan sehingga penghujung tahun 2025.
DYTM Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail telah merasai pengalaman menaiki Kereta api mewah E&O Ekspress dari Stesen Bukit Ketri ke Stesen DiRaja Arau.
Baginda berangkat tiba dan diiringi oleh DYTM Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil bersama-sama anakandanya YAM Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Pengurus Besar Eastern & Oriental Express, Valentin Waldman; Duta Pengalaman Tetamu, Raja Nurul Badizza Raja Badrulzaman dan wakil Roots & Shoots Malaysia, Peter Ong.
Mengiringi sama ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, YBhg. Datuk Rahimi Ismail.
Dalam perjalanan tersebut, baginda turut dipersembahkan dan merasai pengalaman setiap segmen yang disediakan oleh kereta api mewah ini khas buat para pelancong.
Para tetamu kereta api mewah ini mempunyai pilihan untuk merasai pengalaman seperti melukis, mewarna batik dan mendapat informasi secara langsung dengan pembuat batik professional di Kampung Ngulang itu.

Selain itu, para tetamu juga akan merasai pengalaman memasak dan menyediakan hidangan tempatan seperti Roti Jala dan Roti Kaya di Rumah Kupi di Mata Ayer, iaitu sebuah kafe kampung dan menyelami tentang keunikan masakan Malaysia.
Bukan itu sahaja, para tetamu juga boleh membuat pilihan lain seperti menikmati keindahan alam semula jadi di Banjaran Nakawan dengan berbasikal di sekitar Wang Kelian untuk mencari ikon Beruk Kentoi yang hanya terdapat di Perlis.
Mereka juga akan mengadakan lawatan ke Gua Kelam dan seterusnya menikmati makanan tempatan di Pekan Kaki Bukit.
Pengalaman-pengalaman istimewa ini pastinya menjadi ‘buah tangan’ para pelancong untuk kembali ke tempat asal masing-masing untuk dijadikan kenangan dan dikongsi kepada sahabat handai.