Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 21 November 2024, 22:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerusi Unit Integriti dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) menganjurkan Hari Integriti DBP 2024 bagi meningkatkan kesedaran dan pemahaman tentang isu integriti dalam kalangan warga DBP.

Perasmian program tersebut telah disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Sasterawan Negara (SN) Dato’ Dr. Mohd Anuar Haji Rethwan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP semalam.

Dalam ucapannya, beliau berkata,

Integriti merupakan pancang utama nilai insan yang menjelmakan tindakan-tindakan yang memberikan manfaat kecemerlangan kepada organisasi.

Menurut beliau, setiap karyawan DBP mempunyai tanggungjawab untuk memastikan kelestarian pembinaan dan pengembangan bahasa, sastera dan penerbitan sentiasa mampu mendepani cabaran zaman.

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. SN Dato’ Dr. Mohd Anuar Haji Rethwan ketika menyampaikan ucapannya dalam Majlis Hari Integriti DBP 2024, hari ini.

Suka saya tekankan bahawa sambutan Minggu Integriti DBP bukan sekadar sambutan yang klise atau retorik, tetapi patut menjadi wahana yang signifikan ke arah memangkinkan peningkatan prestasi kewibawaan DBP.

“Justeru, saya berharap DBP dapat terus memupuk amalan terbaik, di samping melaksanakan mekanisme pengurusan risiko rasuah yang lebih sistematik dengan menekankan pendekatan pencegahan konflik kepentingan.

Terdahulu, Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari dalam ucapan alu-aluan beliau menyatakan bahawa integriti merupakan pelaksanaan tugas yang telah diamanahkan kepada setiap karyawan DBP dengan sebaik-baiknya supaya setiap tindakan yang diambil berlandaskan peraturan dan arahan yang telah ditetapkan.

Selain itu, turut diadakan sesi forum yang bertajuk “Cuai Dijauhi, Integriti di Hati” dengan menampilkan dua orang ahli panel, iaitu Ketua Unit Integriti, Kementerian Pendidikan Malaysia, YBrs. Puan Siti Zakiah Che Seman dan pendakwah bebas, YBrs. Encik Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan atau lebih dikenali Imam Muda Asyraf.

Sesi forum yang berlangsung dipengerusikan oleh Ketua Bahagian Komunikasi Korporat, Puan Norhasmanalinda Mustapa (tengah) bersama-sama ahli panel, iaitu Imam Muda Asyraf (kiri) dan YBrs. Puan Siti Zakiah Che Seman (kanan).

Dalam forum tersebut, Imam Muda Asyraf menukilkan pandangan Dr. Yusuf al-Qaradhawi berkaitan dengan krisis integriti yang dihadapi oleh umat Islam pada hari ini adalah disebabkan tiadanya sifat al-qawiy, iaitu kemampuan melaksanakan kerja dan al-amin yakni amanah.

Perbuatan bekerja melaksanakan amanah dianggap suatu ibadah yang bersifat umum serta tidak memerlukan niat yang benar-benar khusus, malah Rasulullah SAW suka akan umatnya yang bekerja keras berbanding dengan mereka yang meminta-minta.

Di samping itu, YBrs. Puan Siti Zakiah Che Seman menegaskan kepada para hadirin bahawa tindakan yang diambil oleh setiap pegawai awam perlu mengutamakan kepentingan institusi terlebih dahulu berbanding kepentingan peribadi.

Bahkan, pengurusan sesebuah jabatan memainkan peranan yang penting menyatakan bahawa ketegasan dan keseriusan untuk mengambil tindakan terhadap sebarang pelanggaran yang belaku tanpa mengira kumpulan jawatan.

Setiap kementerian dan agensi perlu mewujudkan Pelancaran Strategi Pembanterasan Rasuah Organisasi (OACS) ialah rentetan daripada Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) yang kini dikenali sebagai Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028, begitu juga pelaksanaan pensijilan Sistem Pengurusan Antirasuah ISO 37001 (ABMS) yang berkaitan dengan pengurusan organisasi atau institusi yang mempunyai kadar risiko rasuah yang tinggi.

Penganjuran program tersebut adalah bersempena dengan sambutan Hari Integriti Nasional yang diraikan pada 5 November setiap tahun dan sebahagian daripada inisiatif daripada Pelan Antirasuah DBP 2021-2025.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Naib Presiden Perhubungan Perniagaan Strategik BIMB, Puan Adilah Hazaami Adnan; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), Tuan haji Md. Johari Hasan; Pengarah-pengarah Jabatan, Pengarah-pengarah Cawangan dan Wilayah, Ketua-ketua Bahagian, Ketua-ketua Editor, Ketua-ketua Unit dan karyawan DBP.

Kredit Foto: Zaidah Zakaria
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi