Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim memulakan lawatan kerja empat hari di Rio de Janeiro, Brazil dan menghadiri Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20) 2024 yang berlangsung dari 16 hingga 19 November 2024.
Lawatan ini dibuat atas jemputan Presiden Brazil, TYT Luiz Inácio Lula da Silva sebagai tanda hubungan erat antara kedua-dua negara. Perdana Menteri turut diiringi Menteri Luar Negeri, YB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, YB Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Menurut kenyataan Kementerian Luar Negeri, semasa Sidang Kemuncak G20, YAB Dato’ Seri Anwar akan menyampaikan ucapan dalam sesi bertemakan “Memerangi Kelaparan dan Kemiskinan” serta “Reformasi Institusi Tadbir Urus Global”. Ucapan ini dijangka menekankan komitmen Malaysia terhadap pembangunan inklusif dan keadilan sosial, selain menyoroti usaha negara untuk memperkukuh kerjasama antarabangsa.
Di bawah kepimpinan Brazil, Malaysia turut aktif dalam dua inisiatif utama G20, iaitu Kumpulan Kerja Kelestarian Iklim dan Alam Sekitar (ECSWG) dan Inisiatif G20 mengenai Bioekonomi (GIB).
Dalam agenda lawatan empat hari tersebut, Perdana Menteri dijadualkan akan mengadakan pertemuan dua hala bersama TYT Lula da Silva untuk membincangkan kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan dan industri semikonduktor. Mereka juga akan bertukar pandangan mengenai isu serantau dan global, termasuklah kerjasama dalam forum seperti ASEAN, BRICS dan G20.
Selain itu, sesi meja bulat bersama pemimpin industri Brazil turut diatur bagi meneroka peluang pelaburan dalam sektor minyak dan gas serta teknologi digital, yang berpotensi memperkukuh hubungan ekonomi kedua-dua negara.
Lawatan ini juga memberikan peluang kerajaan untuk mempersiapkan kerjasama strategik menjelang Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun 2025 dan Brazil sebagai Pengerusi BRICS pada tahun yang sama. Kedua-dua negara berhasrat meningkatkan hubungan diplomatik dan memperluas kerjasama dalam pelbagai bidang.
Sidang Kemuncak G20 tahun ini menjadi platform penting bagi Malaysia untuk menegaskan komitmen terhadap kelestarian ekonomi, pembangunan mampan dan reformasi tadbir urus global. Lawatan ini turut membuka lembaran baharu bagi hubungan dua hala antara Malaysia dan Brazil.