Muhammad Haziq bin Noor Affandi .
Diterbitkan pada 16 November 2024, 17:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Yayasan PETRONAS berjaya menghimpunkan lebih 1,000 orang guru, pegawai pendidikan dan pembuat dasar dalam Simposium Kebangsaan Program Duta Guru (PDG)  yang berlangsung pada 12 hingga 13 November 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Simposium Kebangsaan PDG berfungsi sebagai platform kolaboratif yang mengumpulkan pendidik untuk bertukar idea, berkongsi amalan terbaik, membina rangkaian yang berkekalan, di samping menggalakkan guru melaksanakan projek Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang melibatkan pelajar dalam penerokaan STEM.

Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek dalam ucapan perasmian menekankan bahawa,

Tema Simposium Kebangsaan PDG melengkapi ekosistem STEM, khususnya dalam usaha menjadikan sains sebagai penyelesai masalah dan penyelesaian pelbagai dimensi untuk isu global yang kompleks. Lebih penting lagi, sains membina Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) yang sangat penting dalam landskap pendidikan yang semakin pesat berubah.

Beliau turut mengumumkan bahawa sebanyak 28 orang guru telah dipilih untuk menerima dana Duta Guru, satu mekanisme sokongan khas untuk graduan PDG. Dana ini bertujuan untuk membantu 14 orang guru melaksanakan projek STEM di sekolah masing-masing manakala 14 orang guru lagi menubuhkan Pusat Inovasi Pelajar (Student Innovation Centre) yang akan memupuk kepimpinan pelajar serta menggalakkan inovasi STEM.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan PETRONAS, Puan Shariah Nelly Francis dalam ucapannya menyatakan bahawa,

Duta Guru memainkan peranan penting dalam memberikan inspirasi kepada generasi penyelesai masalah masa depan. Perkara ini termasuklah pembangunan Hab STEM PDG di Tanjung Karang, Bukit Besar, dan Miri. Selain itu, terdapat tiga lagi Hab STEM yang sedang dalam perancangan, iaitu di Zon Utara, Selatan dan Sabah.

Simposium Kebangsaan PDG ini diakhiri dengan majlis graduasi Duta Guru, menyaksikan 411 orang guru Kohort ke-4 PDG yang telah menamatkan program selama dua tahun.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi