Diterbitkan pada 16 November 2024, 10:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Port Dickson – Malaysia kini mempergiat usaha untuk meningkatkan kadar enrolmen murid prasekolah yang dilaporkan berada pada tahap 89 peratus, jauh ketinggalan berbanding dengan pencapaian universal pada peringkat sekolah rendah, iaitu 98 hingga 99 peratus.

Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek berkata, kerajaan komited untuk memperluas akses pendidikan awal melalui pelbagai inisiatif, termasuklah mewujudkan lebih banyak institusi prasekolah di sekolah, institut pendidikan guru dan kolej vokasional.

“Agenda ini penting bagi memastikan semua kanak-kanak menerima pendidikan awal yang berkualiti. Selain mengurangkan risiko keciciran, perkara ini juga memainkan peranan dalam membentuk pembelajaran sepanjang hayat serta memperkukuh interaksi sosial mereka,” katanya semasa merasmikan Karnival Pantai Port Dickson Pendidikan Awal Kanak-kanak di sini, semalam.

Beliau menekankan bahawa pendidikan awal adalah asas penting untuk membentuk generasi yang berdaya saing. Justeru itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang bekerja keras bagi meningkatkan enrolmen prasekolah agar setanding dengan tahap universal.

Karnival yang berlangsung di pesisir pantai Port Dickson menyaksikan pelbagai aktiviti kreatif dan sukan yang melibatkan 3,800 peserta daripada pelbagai institusi prasekolah, termasuk Tabika Perpaduan, Tabika KEMAS dan tadika swasta. Acara seperti sukaneka, binaan istana pasir, pertandingan seni dan persembahan kreatif mendapat sambutan hangat daripada kanak-kanak serta ibu bapa.

“Dengan kolaborasi erat antara KPM, pejabat pendidikan daerah, dan komuniti setempat, kita dapat memastikan pendidikan awal kanak-kanak terus diperkasa. Inisiatif ini juga bertujuan untuk merapatkan hubungan komuniti dan memperkukuh kerjasama semua pihak,” tambah YB Fadhlina.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Aminudin Haji Harun dan Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Port Dickson, YBrs. Puan Zainab Abu Kassim. Karnival ini dilihat sebagai platform penting untuk mempromosi kepentingan pendidikan awal dalam membentuk masa depan negara.

Kredit Foto: Arina Musthafa
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi