Diterbitkan pada 14 November 2024, 14:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bermula 7 November pada tahun ini, rakyat Malaysia kini boleh menggunakan sistem pintu automatik (e-Gate) di balai ketibaan lapangan terbang Taiwan.

Pengumuman ini dibuat oleh Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taipei di Malaysia, sekali gus menjadikan Malaysia sebagai negara ketujuh yang menjalinkan kerjasama e-Gate bersama Taiwan. 

Sebelum ini, kemudahan tersebut turut disediakan kepada pengunjung dari Amerika Syarikat, Korea Selatan, Australia, Itali, Jerman dan Singapura.

Menurut kenyataan pada Isnin lalu, pelancong Malaysia yang ingin menggunakan e-Gate di Taiwan perlu memenuhi syarat berikut, iaitu memiliki pasport cip elektronik dengan tempoh sah sekurang-kurangnya enam bulan, berumur 12 tahun ke atas, berketinggian minimum 140 sentimeter, serta tiada rekod pelanggaran undang-undang di Taiwan.

Pendaftaran boleh dibuat di kaunter ketibaan, dan pelancong yang menukar pasport pada masa hadapan perlu mendaftar semula.

Dalam masa yang sama, warganegara Taiwan yang ingin menggunakan e-Gate di lapangan terbang semasa berkunjung ke Malaysia hanya perlu mengisi Kad Ketibaan Digital Malaysia (MDAC) secara dalam talian dalam tempoh tiga hari sebelum ketibaan.

Dengan pasport cip elektronik yang mempunyai tempoh sah sekurang-kurangnya enam bulan serta berketinggian minimum 120 sentimeter, mereka boleh mengakses e-Gate Malaysia secara percuma tanpa perlu mendaftar.

Selain Taiwan, kemudahan e-Gate hanya disediakan untuk pemegang pasport Australia, Brunei, Jerman, Jepun, Korea Selatan, New Zealand, Arab Saudi, Singapura, Amerika Syarikat dan United Kingdom.

Penggunaan e-Gate ini diyakini akan mempercepatkan proses pemeriksaan imigresen bagi pelancong Malaysia di Taiwan. 

Menurut kenyataan tersebut,

Proses pendaftaran e-Gate hanya memerlukan satu minit, sementara pemeriksaan pula mengambil masa sekitar sepuluh saat.

Penggunaan e-Gate ini dapat mengurangkan keperluan beratur panjang di kaunter imigresen, berbanding pemeriksaan manual yang mengambil masa antara 10 hingga 25 minit.

Kemudahan ini diharap dapat memudahkan pelancongan dua hala antara Malaysia dan Taiwan, memperkukuh hubungan diplomatik dan meningkatkan lagi pengalaman pelancongan bagi rakyat kedua-dua negara.

Kredit Foto: Media Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taipei di Malaysia
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi